SHAH ALAM: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menipu berkaitan pemasangan dekorasi sambutan hari jadi, tahun lalu.
Tertuduh, Siti Helena Azmi, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 39 tahun bagi pemasangan dekorasi majlis hari jadi dan akikah yang tidak wujud sehingga mendorong penyerahan wang berjumlah RM700.
Perbuatan itu dilakukan di Residensi Persiaran Hijau Kasturi, Cahaya SPK di sini, pukul 2.41 petang, 7 Julai tahun lalu.
Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman kemudian menawarkan ikat jamin tertuduh berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Shalehhuddin Salam yang mewakili Siti Helena memohon pengurangan kerana mempunyai tanggungan seorang anak perempuan berusia lima tahun.
“Anak guam saya juga kini memperoleh pendapatan tidak menentu sebagai peniaga atas talian. Selain itu, dia memberi kerjasama penuh kepada polis dan tidak berisiko untuk melarikan diri,” katanya.
Majistret kemudian membenarkan kos ikat jamin RM3,000 dan menetapkan sebutan pada 1 Mac depan.
Seorang pengusaha dekorasi gubahan belon hari jadi sebelum ini dilaporkan mengaut keuntungan mudah dengan melakukan penipuan perkhidmatannya itu terbongkar apabila ditahan di sebuah kondominium di Kerinchi, Kuala Lumpur.
Suspek diberkas menerusi serbuan pukul 4.30 pagi selain beberapa barangan termasuk dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut dirampas.
Penahanan itu susulan laporan salah seorang mangsa yang kerugian RM700 selepas suspek gagal menyediakan perkhidmatannya pada hari dijanjikan. – UTUSAN