KULIM: Tindakan seorang wanita berstatus ibu tunggal yang membawa anak lelakinya untuk tidur di sebuah hotel bagi mengaburi mata penguatkuasa tidak berjaya apabila dia ditahan bersama seorang lelaki bukan muhrim di dalam bilik sebuah hotel, di sini.
Wanita berusia 32 tahun itu ditahan bersama pasangannya berusia 22 tahun pada pukul 1.35 pagi tadi dalam satu operasi ambang tahun baharu pencegahan maksiat oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK).
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Azwan Ahmad berkata, ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah bilik, seorang lelaki berpakaian lengkap membuka pintu sebelum pihaknya memperkenalkan diri.
“Seorang wanita berpakaian lengkap bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun turut berada dalam bilik berkenaan. Pasangan terbabit pada mulanya mengaku sudah bertunang namun akhirnya memaklumkan mereka merancang akan bertunang selepas raya tahun ini,” katanya di sini, hari ini.
Azwan berkata, hasil soal siasat mendapati wanita terbabit bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Perai, Pulau Pinang dan teman lelakinya berasal dari daerah ini namun bekerja di Selayang, Selangor.
Menurutnya, wanita terbabit memaklumkan dia sudah bercerai sejak empat tahun lalu, sementara anak lelakinya itu tinggal bersama bekas suami dan cuma datang tinggal bersamanya ketika cuti sekolah sahaja.
“Pasangan terbabit memberitahu mereka baru berkenalan selama tiga bulan melalui media sosial dan memberi alasan singgah di hotel sekejap selepas keluar berjalan-jalan melihat bunga api sekitar pekan ini sempena tahun baharu.
“Namun pemeriksaan pihak kami mendapati pasangan terbabit masuk bilik hotel berkenaan sejak pukul 7 malam, malah lokasi rumah wanita itu tidak jauh dengan hotel berkenaan,” ujarnya.
Jelasnya, mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri sebelum dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. –UTUSAN