LANGKAWI: Seorang wanita maut, manakala anak lelakinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Malut, di sini pada pukul 7.45 pagi ini.
Mangsa, Fodilah Abdul Kadir, 57, disahkan maut di tempat kejadian sementara anaknya, Mohamad Zaki Ahmad Nizat, 25, mengalami cedera parah di kaki kanan.
Kejadian berlaku ketika mereka yang menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang Mohamad Zaki dalam perjalanan ke kedai makan yang diusahakan berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki dua beranak itu sedang bergerak dari arah Kuah ke Bukit Malut sebelum kereta jenis Perodua Bezza dipercayai hilang kawalan.
“Kereta terbabit dari arah Temonyong ke Kuah yang dipandu seorang lelaki warga India berusia 38 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal dinaiki dua beranak berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal tersebut tercampak ke kawasan semak di bahu jalan sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Shariman berkata, ujian nafas bagi mengesan alkohol yang dilakukan terhadap pemandu kereta terbabit didapati negatif, namun dia yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat di Singapura kini direman selama dua hari untuk membantu siasatan.
Sementara itu, mayat wanita berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk proses bedah siasat dan anaknya turut dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan susulan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN