PETALING JAYA: Penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza berdepan ujian berat apabila menanggung pelbagai penyakit serentak seperti kencing manis, darah tinggi, migrain dan tahap kolesterol tinggi hingga menyukarkan dia meneruskan kerjaya seninya.
Susulan keadaannya itu, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Yang Tak Sudah tersebut juga dilaporkan mengalami sesak nafas.
Perkembangan itu dikongsi rakan artis, Nizam Laksamana yang menerima kiriman WhatsApp daripada adik penyanyi berusia 62 tahun itu.
“Saya nasihatkan supaya dia terus dibawa ke hospital dan jangan bertangguh lagi,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Nizam, Ibnor pada mulanya mengalami sakit perut sehingga berdepan kesukaran membuang air besar.
Disebabkan masalah itu, katanya, Ibnor turut mengalamii bengkak pada bahagian leher di sebelah kiri akibat nanah yang terkumpul.
“Lehernya mula membengkak sejak dua bulan lalu kerana terdapat sel mati yang membentuk nanah pada bahagian tersebut.
“Selepas membuat pemeriksaan di hospital, doktor pakar memaklumkan, tekanan darah, bacaan gula dalam darah dan kolesterolnya juga tinggi. Sakit itu datang serentak,” katanya.
Keadaan kesihatan Ibnor terlebih dahulu mendapat perhatian pelakon dan pengarah terkenal, Fauziah Ahmad Daud menerusi satu perkongsian di Facebook.
Fauziah yang mesra disapa Ogy dalam hantaran itu memaklumkan, penyanyi Meneka Dalam Kesamaran itu sedang berdepan dugaan apabila menghidap pelbagai penyakit serentak, termasuk tekanan darah tinggi, bacaan gula dalam darah dan tahap kolesterol yang tinggi.
“Ibnor juga mengalami bengkak leher berpunca daripada sel mati dan membentuk cecair nanah yang memerlukanya menjalani pembedahan. Bagaimanapun, ia terpaksa ditangguhkan atas nasihat doktor pakar disebabkan bacaan gula dalam darah terlalu tinggi.
“Ibnor juga diuji dengan kehilangan suara dan berdepan kesulitan kesulitan untuk melaksanakan keperluan seharian, termasuk keperluan perubatan.Dia dalam proses mendapatkan rawatan daripada pakar.
“Saya dengan rendah hati memohon semua sahabat mendoakan yang terbaik buat Ibnor Riza agar Allah permudahkan bantuan dan urusan supaya cepat sembuh dan bebas daripada penyakitnya,” katanya.