‘Hidup saya sudah lengkap’ - Utusan Malaysia

‘Hidup saya sudah lengkap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CANTIK dan berbakat. Itu deskripsi yang tepat menggambarkan penyanyi kelahiran Negeri Sembilan, Suki Low. 

Impian untuk mengabadikan Suki sebagai wajah penyeri Pancaindera akhirnya terlaksana. 

Pelawaan untuk mengadakan sesi fotografi disambut baik penyanyi ini. Suki memenuhi undangan, meskipun terhimpit dalam kekangan masa dan jadual yang padat. 

Pelbagai cerita yang ibu tiga anak ini kongsikan sepanjang perbualan. Tidak lekang dari mulutnya ucapan penghargaan buat peminat yang sentiasa memberi sokongan. Kata Suki, dia bertuah. 

“Terima kasih kerana terima kehadiran saya dalam industri muzik. Saya tidak pernah berasa diri dibeza-bezakan. 

“Pada saya, sempadan kaum tidak wujud dalam dunia hiburan kita. Artis Melayu, Cina, India atau kaum apa sekalipun, semua dilayan sama rata. 

“Apa yang paling berharga adalah sokongan peminat dan media. Terima kasih kerana mengalu-alukan. Saya bersyukur dan berterima kasih,” katanya. 

Selepas lebih sedekad dalam industri muzik, Suki sepatutnya sudah berdiri pada aras yang lebih tinggi dalam kerjaya nyanyiannya. 

Mungkin berdiri sama aras dengan penyanyi seangkatan seperti Shila Amzah. Tetapi, graf kerjaya Suki masih belum sampai ke puncaknya. Ada turun dan ada juga naiknya. 

“Setiap penyanyi ada perjalanan masing-masing. Hidup umpama maraton, kita tidak tahu apa yang ada di depan. 

“Bagi saya, hidup saya sudah lengkap. Saya membuat keputusan yang betul dengan berehat daripada dunia nyanyian selepas beberapa tahun berkahwin pada 2012 untuk tumpukan kepada keluarga. 

“Sekarang, saya sudah ada anak-anak, tetapi masih berpeluang untuk menyanyi. Tiada apa lagi yang saya nak kejarkan dan saya percaya, setiap penyanyi ada masa mereka untuk betul-betul menyerlah. Bukan kita yang tentukan perkara itu,” jelasnya.

Sambung Suki, dia hanya mahu terus melakukan apa yang diminati dan sekadar berharap, perjalanan kariernya terus terarah kepada kebaikan. 

“Saya memandang tinggi penyanyi seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Shila Amzah dan ramai lagi. Saya hanya boleh berharap, suatu hari nanti dapat berjaya seperti mereka. Tetapi, seperti yang saya katakan, semua ini bukan kita yang tentukan. 

“Sampai tahap mana saya boleh pergi, sukar untuk saya katakan. Saya sekarang hanya mencari kesederhanaan dalam apa yang saya lakukan. 

“Setiap penyanyi ada had dan keupayaan, disebabkan itu saya hanya mahukan keseimbangan dan tidak terlalu cuba mengejar sesuatu yang bukan kita tentukan,” tambahnya.

Cuba genre berlainan

KERJAYA nyanyian Suki pada masa sekarang disifatkan lebih stabil berbanding awal kemunculannya sekitar 2006. 

Bagaimanapun, Suki melihat perjalan kariernya masih jauh dan perlu lebih banyak ruang penambahbaikan. 

“Banyak kelemahan yang perlu saya perbaiki. Bagi saya, ruang penambahbaikan untuk nyanyian sentiasa ada. 

“Sebenarnya, program Gegar Vaganza (GV) membuka banyak peluang untuk saya memperbaiki kekurangan dan mencuba genre yang belum pernah saya bawakan.

“Ia membuka mata tentang kebolehan yang selama ini ada dalam diri saya. Selepas menyertai GV, baru saya tahu saya boleh membawakan pelbagai jenis lagu,” katanya. 

Kata Suki, dia gembira dengan pencapaian yang dikecapi sebagai penyanyi. Selepas 16 tahun, Suki lebih yakin dengan kebolehannya sebagai penghibur. 

“Kerjaya saya, pada fasa sekarang, lebih menyeronokkan berbanding kemunculan awal saya sekitar 16 tahun yang lalu. 

“Sekarang, saya lebih berkeyakinan dan gembira kerana kerjaya nyanyian menjadi proses pembelajaran yang berterusan. 

“Mungkin selepas ini, saya mahu rakam jenis lain seperti Irama Malaysia. Saya minat dengan genre tersebut,” kongsinya.

Lagu baharu

BERCAKAP soal lagu baharu, Suki memaklumkan, bakal tampil dengan sebuah single dalam tahun ini. 

Bagaimanapun, katanya terlalu awal untuk memperincikan tentang lagu berkenaan dan dia berharap, peminat bersabar menunggu sehingga ia secara rasmi diperdengarkan nanti. 

“Apa yang boleh saya kongsikan adalah ia ditulis dan dihasilkan salah seorang penyanyi tempatan yang amat saya idolakan. 

“Lagu tersebut bermain dengan emosi yang sangat dalam sehingga membuatkan saya menitiskan air mata ketika menyanyikannya dalam sesi akustik. 

“Lagu ini sangat peribadi dan saya bersyukur kerana ia serba sedikit merawat kesedihan yang pernah saya lalui. Saya harap ia juga akan merawat pendengar sebaik dikeluarkan nanti,” katanya. 

Ditanya pengalaman peribadi yang dirujuk untuk menyalurkan emosi ke dalam lagu tersebut, Suki menjawab, ia lebih kepada pengalaman kehilangan orang ataupun haiwan tersayang. 

“Ada ketika, kita rasakan belum puas untuk bersama dengan ahli keluarga atau haiwan peliharaan yang kita sayang apabila mereka meninggalkan kita terlalu awal. 

“Emosi itu saya salurkan dalam lagu ini. Saya akui, ia cukup berat, tetapi ia sebenarnya merawat saya dari dalam,” kongsinya.

Sambutan sederhana

DISOAL tentang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, Suki memaklumkan, seperti tahun sebelumnya, saat istimewa tersebut dinikmati dengan meluangkan masa bersama keluarga tersayang. 

Katanya, dia mengambil peluang untuk pulang ke rumah orang tua dan menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga. 

“Kami sekeluarga akan ziarah rumah ibu dan bapa saya di kampung dan luangkan masa bersama mereka. 

“Ini adalah masa untuk keluarga. ibu dan ayah juga gembira apabila cucu ada bersama mereka,” kongsinya. 

Bagaimanapun kata Suki, dia dan keluarga tetap beringat menjaga keselamatan diri daripada ancaman Covid-19. 

“Ibu bapa saya golongan berisiko, justeru mungkin kami hanya akan adakan sambutan kecil-kecilan bersama keluarga terdekat. 

“Sambutan sederhana sebenarnya memadai untuk saya. Apa yang penting, keluarga dapat berkumpul dan meluangkan masa bersama. Itu lebih utama bagi kami,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya