GURUN: Kira-kira 80 keluarga di Kampung Batu 2, Jalan Jeniang-Gurun, di sini hidup bertemankan air kotor lebih 60 tahun lalu memandangkan kampung berkenaan tidak mempunyai sistem perparitan sempurna.
Derita lebih perit dirasai penduduk yang menduduki kawasan rendah apabila air hujan bercampur air kotor memasuki rumah mereka sehingga menimbulkan bau busuk.
Dakwa penduduk, disebabkan tiada sistem perparitan yang sempurna, jalan mini tar di bahagian tengah dan hujung kampung itu menjadi laluan air dan sering rosak hingga perlu dibersihkan sepanjang masa bagi menjaga keselamatan pengguna.
Seorang penduduk, Mohamad Ibrahim, 63, berkata, sebelum ini penduduk mengalirkan semua air buangan ke dalam lubang yang dipasang tangki konkrit di sekeliling rumah masing-masing.
“Namun selepas puluhan tahun lubang itu telah penuh dan dengan campuran air hujan ia melimpah keluar. Disebabkan tiada longkang, limpahan air bergenang di sekeliling rumah dan menimbulkan bau busuk berpanjangan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut Othman Saad, 70, pula, dia terpaksa mengorek lubang khas di bahagian dapur rumahnya bagi memerangkap air hujan yang mengalir di atas jalan berdekatan rumahnya kerana ketiadaan longkang.
“Masalahnya adalah lubang khas ini dipenuhi air jika hujan lama dan sudah pasti bercampur dengan air sisa dan air kumbahan.
“Jika ada longkang memudahkan saliran air hujan selain membolehkan kami mengalirkan air buangan bagi mengelak berdepan dengan limpahan air kotor memasuki rumah,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk mendakwa mereka sudah beberapa kali mengadukan masalah terbabit kepada pihak berkuasa namun tidak mendapat jawapan sehingga kini. – UTUSAN