JERANTUT: Kekurangan pendapatan ekoran harga getah rendah dan cuaca tidak menentu menyebabkan penoreh dalam kalangan masyarakat Orang Asli terus menderita sehingga ada terpaksa menjual pisang dan daunnya untuk mendapatkan sedikit wang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penoreh getah Orang Asli etnik Jahut Kampung Sungai Rengat, Zuraidah Tam, 37, berkata, bermula awal bulan ini, cuma tiga kali dia dapat ke kebun milik saudaranya manakala musim tengkujuh hujung tahun lalu yang langsung tidak dapat bekerja.
“Sejak empat tahun ini, saya jarang dapat menoreh lebih daripada 20 hari sebulan dan amat menyedihkan purata bekerja cuma antara tujuh hingga 10 hari sebulan.
“Sehingga pertengahan bulan ini, saya memperoleh 20 kilogram berat getah buku apabila dijual dengan harga RM44, kemudian dibahagi dua dengan pemilik kebun. Lebihan (RM22) yang saya dapat,” keluhnya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, pendapatan itu langsung tidak mencukupi untuk membeli susu tepung anaknya, Nizal Aidil, 5.
Jelasnya, senario harga getah merudum menimbulkan kesusahan sejak lebih lima tahun lalu termasuk kira-kira 50 penduduk Orang Asli di beberapa kampung berdekatan yang mencari rezeki mengambil upah menoreh di kebun milik orang.
Menurutnya, dia mula menoreh sejak berusia 20 tahun di kebun yang tidak jauh dari rumah dan mengambil masa empat jam untuk selesai membabitkan 200 batang pokok pada keluasan 0.8 hektar.
“Ada ketika hujan turun pada waktu tengah hari selepas menoreh bermakna hari berkenaan saya menanggung kerugian kerana susu getah bercampur dengan air dan langsung tidak beku. Kejadian ini kerap berlaku,” katanya.
Ibu kepada seorang anak itu berkata, dia dan suaminya, Aidil Hashim, 27, cuma mencongak nasib sambil berharap cuaca cerah pada bulan akan datang serta kerajaan perlu menaikkan harga komoditi itu supaya Orang Asli selesa khususnya berbelanja barang keperluan.
“Sekiranya harga getah ditakuk lama sudah tentu tidak menjamin pendapatan yang selesa, saudara saya (pemilik kebun) sudah merancang untuk menebang pokok getah dan ditanam sawit,” jelasnya. – UTUSAN