KUALA SELANGOR: Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing berdepan detik menyeramkan apabila menerima tempahan penumpang misteri dan diminta untuk dihantar dekat lokasi gelap dekat Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, di sini pada Sabtu lalu.
Situasi tersebut bermula apabila dia menumpangkan seorang wanita yang mengenakan t-shirt berwarna putih serta seluar dan ves hitam dengan rambut panjangnya dibiar lepas tanpa diikat.
Menurut pemandu tersebut, Muhammad Noor Izaat, 34, dia menerima tempahan kira-kira pukul 11.15 malam daripada seorang wanita, yang mana namanya terpampang dalam aplikasi tersebut sebagai Patimah.
“Dalam aplikasi itu, saya perlu mengambil Patimah di sekitar Eco Grandeur dan perlu menghantarnya di sebuah lokasi di Alam Jaya (jarak sekitar 2 kilometer). Hati sangat gembira kerana masih dapat tempahan pada lewat malam
“Tetapi, ketika membiarkan wanita itu menaiki keretanya, dia mula rasa tidak sedap hati kerana ada bau sesuatu (kurang menyenangkan). Loghat percakapannya seperti orang Indonesia,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook hari ini.
Noor Izaat menambah, dia mula berasa pelik dan syak wasangka apabila Patimah menetapkan tempat yang hendak dituju dalam aplikasi e-hailing itu menunjukkan kawasan gelap, malah laluan ketika berada di sana tiada orang awam lalu lalang kelihatan.
Namun, dia tetap meneruskan perjalanan sehingga 900 meter seperti diminta wanita itu sebelum berhenti di jalan mati dan bertanya sekali lagi kepadanya untuk mendapatkan lokasi sebenar.
“Patimah tidak menjawab soalan, lantas saya ambil keputusan untuk menoleh ke belakang. Sebaik menoleh ke belakang, saya terkejut apabila Patimah sudah tidak ada lagi di bahagian tempat penumpang belakang.
“Nah hilang? Patimah hilang? Bau busuk tadi pun beransur-ansur hilang. Apakah? Saya tak fikir panjang, tak cakap apa, terus undur dengan laju dan memecut pulang.
“Darah sudah menderau, tidak semena-mena menggigil memecut keluar dari Alam Jaya sambil buka tingkat sebab hendak hilangkan bau busuk macam bau bangkai atau mayat,” tulisnya.
Malah, lebih menambah misteri apabila hendak menyemak semula tempahan wanita itu dalam aplikasi e-hailing, jejaknya hilang menyebabkannya tidak boleh membuat aduan.
“Tiba di lokasi selamat, saya buka aplikasi dan check history untuk buat aduan, sekali order itu hilang, ghaib! Hah!. Sudah tak boleh fikir, balik terus. Memang ini kali pertama berdepan-depan (dengan hantu) dalam kereta.
“Kena ganggu dengan makhluk seram macam ini, yang hairannya makhluk ini advance. Hantu pakai Grab. Serius lah? Atau mungkin pengamal ilmu hitam sengaja hendak cuba test power? Wallahualam… Serius sampai sekarang masih merinding, seram dan bingung,” luahnya.
Posting yang ditulis Muhammad Noor telah mendapat reaksi daripada 723 pengguna Facebook serta telah dikongsi sebanyak 457 kali dalam media sosial itu. – UTUSAN