Hampir satu tan ketum dirampas, dua penyeludup diberkas - Utusan Malaysia

Hampir satu tan ketum dirampas, dua penyeludup diberkas

MOHD. Shokri Abdullah menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam dua serbuan berasingan pada Sabtu dan Ahad lalu di Padang Besar, Perlis. -UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Polis berjaya merampas hampir satu tan metrik daun ketum yang cuba ‘dieksport’ ke negara jiran dan memberkas dua lelaki dalam serbuan berasingan di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, tangkapan pertama dilakukan di sebuah kampung di sini pada 28 Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, anggota trafik telah menahan sebuah kereta jenis Proton Satria di kawasan Guar Jentik yang dipandu seorang lelaki tempatan sebelum suspek memecut dalam cubaan melarikan diri.

“Anggota trafik berkenaan mengejar suspek kira-kira dua kilometer sebelum ditahan dan pemeriksaan lanjut menemukan 48 bungkusan plastik hitam dipercayai daun ketum dengan anggaran berat 480 kilogram bernilai RM4,800 yang diletakkan pada bahagian tempat duduk penumpang belakang yang dibuka kerusi.

“Siasatan lanjut mendapati suspek berusia 35 tahun itu positif dadah jenis methaphetamine dan mempunyai empat kes lampau bersabit dadah serta satu kes dibawah Akta Racun 1952,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambah Mohd. Shokri, suspek sering bertukar-tukar kenderaan dan tempat simpanan dalam usaha menyukarkan pihak polis mengesan pergerakannya yang dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu.

Katanya, penyeludup itu mendapat upah sebanyak RM250 daripada pembekal sebelum dipasarkan ke negara jiran melalui Wang Kelian di sini.

Katanya, suspek membeli daripada pembekal dengan harga RM6 sebelum dijual di negara jiran pada harga RM10 sekilogram dan mencari sendiri pasaran di sana.

Dalam pada itu, seorang lagi lelaki dicekup dalam tangkapan kedua yang dilakukan pada pukul 12.10 pagi semalam di sebuah stor tidak bernombor di Wang Kelian.

Menurut Mohd. Shokri, suspek merupakan warga tempatan berusia 59 tahun itu ditahan bersama 19 guni putih berisi daun dipercayai ketum dengan anggaran berat 500 kilogram bernilai RM5,000.

“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik melakukan risikan selama satu minggu dan menunggu suspek menghampiri lokasi sebelum serbuan dilakukan.

“Siasatan mendapati suspek turut memasarkan sendiri barang terlarang itu dan sering mengubah lokasi simpanan stor terbiar yang dijadikan transit sebelum diambil individu dari negara jiran dengan menaiki motosikal,” jelasnya.

Tambahnya, suspek pertama disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan direman selama tiga hari bermula semalam manakala suspek kedua direman selama empat hari bermula semalam hingga 1 Februari ini.

Statistik menunjukkan rampasan ketum oleh polis Padang Besar dan Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Januari tahun ini menurun dengan mencatatkan 4,124 kilogram berbanding tempoh sama 8,356 kilogram tahun lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya