PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd. Amin hari ini berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagi membincangkan mengenai perkembangan bola sepak negara.
Menurut Hamidin, pertemuan itu juga turut membincangkan dengan lebih terperinci mengenai perkembangan terkini bola sepak wanita, futsal, bola sepak pantai serta pembangunan pengadil.
Katanya, pertemuan itu turut menekankan mengenai pembangunan akar umbi dan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP).
“Pertemuan itu bukan saja membincangkan hal-hal berkaitan bola sepak, malah turut bertukar input serta pandangan berkaitan sukan di Malaysia secara umumnya.
“Hannah bukan sahaja menunjukkan minat dalam bola sepak tetapi nampak begitu meminati sukan secara keseluruhannya.
“Beliau ingin mengetahui segalanya tentang bola sepak dan sedikit sebanyak sudah saya terangkan kepada beliau,” kata Hamidin dalam hantaran yang dikongsikan di laman Facebook FAM hari ini.- UTUSAN ONLINE