Halim Othman tak lelap mata kali pertama keluar TV

Halim Othman tak lelap mata kali pertama keluar TV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA penyiaran, termasuk radio memiliki barisan penyampai yang memberi kesan kepada pendengar.

Dalam kalangan barisan itu, tidak dinafikan, Halim Othman turut tergolong antara penyampai radio paling menyinar.

Pengalaman lebih tiga dekad meletakkan Halim sebagai penyampai radio dan pengacara senior yang sering menjadi inspirasi generasi hari ini.

Membuka cerita, Halim berkata, dunia kanak-kanaknya berbeza dengan kanak-kanak hari ini yang terdedah dengan kemajuan teknologi seperti gajet dan Internet.

Halim yang memiliki lima adik-beradik dibesarkan dalam keluarga sederhana. Bapanya guru besar di sebuah sekolah di Kerteh, Terengganu, manakala ibunya pula suri rumah yang minat menjahit dan melukis.

Pendidikan adalah perkara yang amat ditekankan keluarganya.

“Dahulu, buku teks lama di sekolah akan dibakar apabila terbit buku baru. Bapa akan ambil buku lama itu dan letakkan di rumah untuk dijadikan bahan bacaan kami.

“Itulah hiburan kami adik-beradik. Rumah kami ibarat perpustakaan, menempatkan bahan bacaan popular seperti kisah Merong Mahawangsa, Sang Lamri, Sang Kancil, Hikayat Seribu Satu Malam, syair dan banyak lagi. Rutin kami pula adalah ceritakan semula kisah yang kami baca sebelum tidur,” ceritanya.

Kata Halim, minatnya terhadap dunia penyiaran, terutama radio tertanam dalam sejak usia kecil.

Katanya, ketika membesar pada era 1960-an, televisyen masih baharu dan hanya ada di beberapa rumah di seluruh Kerteh.

Penduduk akan berkumpul di rumah tersebut untuk menonton rancangan kegemaran mereka.

“Ketika kecil, keluarga saya tidak memiliki televisyen. Kami hanya ada sebuah radio, itupun selalu rosak. Saya memang suka mendengar radio dan antara saluran yang menjadi pilihan adalah dari Singapura.

“Setiap malam, saya ikuti slot kendalian pengulas sukan terkemuka seperti Datuk Rahim Razali, Amran Hamid, Zulkarnain Hassan dan ramai lagi. Saya tertarik dengan penyampaian mereka dan cara Rahim berbeza dengan yang lain,” ujarnya.

Tambah Halim, bakat penyampaian juga mula ditanam sejak sekolah rendah menerusi minatnya yang suka bercerita.

“Saya suka menceritakan semula kisah dalam buku yang saya baca kepada kawan-kawan. Ketika waktu rehat, kami berkumpul dan saya ceritakan semua kisah yang saya baca kepada mereka. Mungkin sebab itu, saya seronok menjadi penyampai radio dan pengacara TV,” jelasnya.

BINA KARAKTER SEJAK KECIL

Halim dikenali dengan karakter tersendiri dan cara percakapan yang berbeza daripada penyampai lain.

Katanya, karakter itu dibina ketika dia masih di bangku sekolah.

“Saya membesar dalam komuniti yang bertutur dalam dialek Terengganu. Pada masa sama, saya tertarik apabila saudara-mara yang pulang ke kampung bercakap cara orang Kuala Lumpur.

“Saya dalam dilema kerana suka cara percakapan orang Kuala Lumpur. Saya keliru, mahu pilih dialek Terengganu atau Kuala Lumpur.

“Perkara itu mempengaruhi saya untuk bercakap dengan gaya tersendiri. Ia juga didorong minat terhadap bahasa Indonesia. Karakter yang terbina itu membantu saya menjadi penyampai radio,” kongsinya.

BERALIH BIDANG

Enam tahun menuntut dalam jurusan seni bina di Universiti Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada penghujung 1980-an, Halim pulang ke Malaysia pada 1991 membawa segulung ijazah.

Bagaimanapun, dia tidak pernah menjangka terpaksa menukar haluan kerjaya demi bidang yang lebih dicintai.

“Saya sempat bekerja dalam bidang seni bina beberapa tahun sebelum beralih kepada bidang penyiaran televisyen.

“Perkara itu bukan keputusan yang mudah tetapi saya perlu memilih bidang yang tepat dengan jiwa.

“Jadi, saya pilih bidang penyiaran kerana ia lebih kena dengan minat berbanding seni bina,” kongsinya.

Kata Halim, ibu bapanya tidak menghalang keputusannya untuk beralih bidang. Malah, mereka menyokong apa sahaja yang terbaik buat dirinya.

“Tetapi, mereka meletakkan syarat, saya perlu menamatkan pengajian dan memiliki segulung ijazah. Perkara itu juga saya sarankan kepada orang lain,” jelasnya.

Pada 1993, Halim mengendalikan rancangan televisyen sulungnya, Hello Malaysia yang kini dijenamakan sebagai Selamat Pagi Malaysia.

Kata beliau, dia bertuah kerana sempat berkongsi ruang pengacaraan dengan nama besar ketika itu.

“Saya ada menghadiri beberapa uji bakat sebelum itu, namun tidak berhasil. Rezeki saya bersama Hello Malaysia. Ketika itu, saya menjadi pengacara sambilan program tersebut kerana masih bekerja sepenuh masa sebagai arkitek.

“Saya bertuah dapat bekerja dengan orang hebat seperti Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Peggy Ng, Ngasri Sain dan ramai lagi,” ujarnya.

Kata Halim, dia masih ingat kenangan hari pertama mengendalikan rancangan tersebut yang baginya, amat memberi kesan.

“Malam sebelum itu, saya tidak dapat tidur kerana terlalu gelisah memikirkan tugas pertama sebagai pengacara.

“Ketika bersiaran langsung, memang saya gugup dan gementar. Saya masih ingat, tetamu pertama saya dalam rancangan itu adalah pelakon dan pelukis, Imuda,” kongsinya

“Orang kampung tidak percaya apabila saya menceritakan pengalaman itu,” katanya berseloroh.

RODA IMPIAN

Rancangan Roda Impian adalah antara yang melonjakkan nama Halim. Disebabkan program itu, namanya terkenal di seluruh negara.

Kata Halim, dia dan Roda Impian ibarat jodoh yang ditentukan.

“Uji bakat hos Roda Impian dilakukan pada 1996 di Hotel Istana. Ketika itu, saya tidak merancang hadir dan berada di hotel itu selepas melihat ramai orang datang.

“Rupanya, mereka mahu mencari pembantu pengacara untuk sebuah rancangan TV. Dalam ramai yang hadir uji bakat, saya seorang sahaja lelaki ketika itu.

“Saya meminta untuk diuji bakat. Dalam sesi tersebut, apabila panel menanyakan saya tentang rancangan terbaik dunia, saya menjawab Wheel Of Fortune kerana selalu menonton rancangan itu ketika menuntut di AS.

“Selang beberapa hari, saya dimaklumkan berjaya menjadi hos Roda Impian. Itu adalah momen paling menggembirakan dalam hidup saya,” kongsinya.

Kata Halim lagi, rancangan itu benar-benar memberi impak terhadap kerjayanya sehingga hari ini.

“Masyarakat kenal saya dengan tagline ‘Itu yang kami cari’ yang sering saya sebut ketika mengendalikan rancangan tersebut. Begitu besar kesannya kepada kerjaya saya sehingga orang masih ingat saya sebagai pengacara Roda Impian,” katanya.

PEMINAT MASUK KERETA, CINCIN KAHWIN

Selepas membina nama sebagai pengacara TV, Halim beralih ke radio pada 1998. Halim pernah menjadi penyampai di beberapa stesen terkenal seperti Era, Sinar dan Suria FM.

Ketika bergelar penyampai radio, banyak kejayaan diraih dan tidak kurang juga peristiwa pelik
yang dialaminya.

“Peminat radio agak berbeza dengan penonton TV. Banyak kejadian pelik berlaku, antaranya saya didatangi individu tidak dikenali yang masuk ke dalam kenderaan secara tiba-tiba.

“Situasi itu mencemaskan, pelik dan menakutkan kerana wanita itu seperti tidak berapa waras. Itu kali pertama saya berdepan keadaan sedemikian,” katanya.

Kata Halim lagi, dia juga pernah menerima barangan pelik pemberian peminat.

“Antaranya cincin kahwin yang dihantar seorang peminat perempuan. Ia adalah pengalaman melucukan dan tidak boleh saya lupakan sehingga hari ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya