Hajiji selesai menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah

Hajiji selesai menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah

HAJIJI Noor meninggalkan pekarangan Istana Negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selesai menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah dalam pertemuan hampir sejam di Istana Negeri Sabah sebentar tadi.

Kenderaan membawa Ketua Menteri Sabah itu dilihat memasuki pekarangan Istana Negeri Sabah pada pukul 4.20 petang.

Pertemuan itu berkemungkinan berkaitan dengan rombakan Kabinet Negeri Sabah yang dijangka pada Isnin ini.

Rombakan Kabinet itu dilakukan susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan daripada Hajiji semalam.

Hubungan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN yang mula dibentuk sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 akhirnya retak dengan tindakan BN menarik sokongan.

Namun, daripada 18 ADUN BN, hanya 13 menyokong tindakan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan daripada Hajiji manakala, lima ADUN BN yang lain masih kekal menyokong kerajaan diterajui Hajiji Noor.

Lima ADUN itu ialah Menteri Pembangnan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat); Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Yusof Yacob (Sindumin).

Rombakan yang berlaku itu dipercayai akan turut melibatkan penyertaan ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam Kabinet Negeri.

Antara nama yang disebut-sebut akan menyertai Kabinet Negeri adalah ADUN Api-Api, Datuk Christina Liew bagi menggantikan Setiausaha BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Sementara itu, ADUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon turut dikhabarkan bakal dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sebelum ini, BN dan Warisan didakwa ingin bekerjasama bagi membentuk kerajaan baharu namun, ketika ini jumlah sokongan daripada kedua-dua parti itu masih belum mencukupi untuk merampas kerajaan. –utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya