Gusar berdepan runtuhan cerun, plastik kanvas reput

Gusar berdepan runtuhan cerun, plastik kanvas reput

PLASTIK kanvas yang mulai reput sekali gus mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kem Semur, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pengguna jalan raya Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kem Semur di sini, berdepan kebimbangan setiap kali menggunakan laluan tersebut selepas plastik kanvas yang menutup cerun bukit dilihat mulai reput.

Tinjauan Utusan Malaysia men­dapati, cerun itu adalah sebahagian daripada projek pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR).

Seorang pengguna, Mohd. Rustam Mohamed, 39, berkata, jalan tersebut adalah laluan utama yang sepatutnya dise­lenggara secara berkala oleh pihak berwajib supaya tidak mengancam keselamatan orang ramai.

Katanya, ia digunakan penduduk dari Kota Bharu untuk ke Kuala Lumpur.

“Pada sebelah malam, kami bimbang pengguna jalan raya terdedah dengan risiko cerun runtuh yang boleh menyebabkan kemalangan.

“Kami berharap pihak berwajib dapat membuat langkah keselamatan agar tidak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Seorang penduduk tempatan, Jamil Ali, 40, berkata, dia bimbang melihat cerun bukit yang terdedah terutama pada musim hujan.

Dia berharap tindakan segera diambil pihak berwajib dalam memastikan keselamatan pengguna laluan itu.

“Aspek keselamatan dan pe­ngurusan cerun yang betul perlu dititikberatkan dalam semua projek pembinaan yang melibatkan laluan orang awam.

“Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan aspek ke­selamatan terutama yang membabitkan nyawa orang ramai,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Ka­walan Alam Sekitar Kanan Daerah Gua Musang, Zaharizam Johny berkata, projek tersebut sudah berada dalam pemantauan pihaknya.

“Kita sudah mengeluarkan notis bagi arahan kepada pihak berkenaan menutup tanah yang terdedah dan pemantauan daripada semasa ke semasa akan terus dilakukan bagi memastikan aspek keselamatan diuta­makan,” katanya.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya