Guna rumah pusaka bungkus dadah

Guna rumah pusaka bungkus dadah

DADAH yang dirampas polis dalam serbuan terhadap dua lelaki di Taman Rajawali, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki bersama dua jenis dadah seberat kira-kira 360 gram yang disyaki mahu diedarkan kepada penagih-penagih dadah di sekitar bandar raya ini dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Rajawali, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, serbuan tersebut dilakukan kira-kira pukul 3 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 357 gram dadah jenis heroin dan 5.6 gram dadah jenis syabu. Polis percaya rumah tersebut digunakan oleh kedua-dua suspek untuk membungkus semula dadah sebelum diedarkan kepada penagih tempatan.

“Difahamkan kediaman tersebut merupakan rumah pusaka yang diwarisi salah seorang suspek setelah bapanya meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain dadah tersebut, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM660 dan sebuah motosikal untuk tujuan siasatan dengan nilai kesemuanya dianggarkan berjumlah kira-kira RM15,000.

Tambahnya, saringan air kencing terhadap suspek mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis morfin.

“Semakan lanjut mendapati mereka memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah. Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Bahagian III ADB (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya