SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor menafikan penempatan dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) berikutan terdapat unsur khianat dalam kebakaran blok bangunan Wisma Jakel dekat Seksyen 7 di sini.
Sebaliknya, penggunaan anjing pengesan adalah bagi menyiasat punca kebakaran dan hal demikian hanya diputuskan selepas segala maklumat diperoleh daripada siasatan tersebut.
Perkara itu dijelaskan Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Norizham Mohd. Nurdin yang memaklumkan tiada tindakan luar biasa daripada bomba apabila menggunakan anjing pengesan dalam penyiasatan kebakaran.
“Maksudnya, bukan setiap kebakaran bila dipanggil Unit K9 ada unsur sengaja bakar, tidak. Itu adalah satu prosedur kita untuk memastikan bahawa, unit itu dipanggil untuk memastikan penolakan atau bukan ada unsur sengaja bakar.
“Kes ini bukanlah dikatakan bangunan ini sengaja dibakar, tetapi sebagai prosedur sesuatu penyiasatan kebakaran. Memang kita akan panggil untuk membantu kita dalam penyiasatan kebakaran,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, bangunan lot kedai lima dan tiga tingkat yang menempatkan cawangan gedung tekstil terkenal itu terbakar pada awal pagi semalam.
Pasukan penyelamat dari tujuh balai bomba dikerah bagi operasi memadam kebakaran yang memusnahkan Wisma Jakel di Jalan Plumbum, Seksyen 7 melibatkan 38 anggota dan pegawai bersama sembilan jentera untuk memadam api.
Turut dikerah adalah pegawai dan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi mengawal keselamatan dan lalu lintas di Persiaran Kayangan dan Persiaran Permai serta menutup Jalan Plumbum S7/S.
Dalam pada itu, Norizham memaklumkan penyiasatan punca kebakaran ditumpukan di tingkat satu dan bahagian-bahagian yang menjadi tempat api ditemui berdasarkan maklumat awam serta video-video tular.
“Selain itu, kita juga gunakan kaedah saintifik kita yang mana kita boleh nampak. Maksudnya kalau boleh tengok, macam kebakaran ini kita tak akan siasat di tingkat bawah kerana tidak terjejas.
“Contohnya kalau kita tengok dari segi struktur bangunan tersebut, kebakaran yang berlaku di situ, saksi-saksi orang awam dan video viral yang kita nampak api bermula dari mana serta pemanggil yang beritahu nampak api di mana,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, anjing pengesan yang digunakan dalam kerja-kerja penyiasatan itu adalah berkemahiran dalam mengesan punca kebakaran dan tidak sama seperti ditempatkan di tapak tanah runtuh dekat Batang Kali di Hulu Selangor pada Disember lalu.
“Anjing digunakan bukan yang sama seperti dekat tapak tanah runtuh di Batang Kali. Ia adalah anjing berkemahiran untuk membantu menyiasat punca kebakaran.
“Jadi, setiap kali operasi akan keluar sepasang (dua ekor) jika ada unsur (penemuan) yang seekor lagi akan membantu mengesahkan. Anjing yang digunakan adalah dilatih untuk membantu dalam penyiasatan kebakaran, bukan untuk mengesan mangsa. Ia adalah khas untuk kebakaran,” ujarnya. – UTUSAN