Gudang Garam, Canyon antara 50,000 kotak rokok dirampas - Utusan Malaysia

Gudang Garam, Canyon antara 50,000 kotak rokok dirampas

Rokok dirampas
AHMAD Ridhwan Mohd. Nor @Salleh menunjukkan antara karton rokok yang dirampas menerusi satu serbuan dalam Op Kontraban oleh pasukan dari Batalion 4 PGA Semenyih, di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Gudang Garam, Canyon dan pelbagai lagi jenama antara 2,094 karton rokok seludup untuk edaran ke kedai-kedai runcit di sekitar Lembah Klang dirampas polis dalam satu serbuan sebuah rumah dekat Bandar Rimbayu di sini, semalam.

Serbuan dibuat sepasukan pegawai dan anggota daripada Cawangan Risik Kompeni A bersama Anggota Risik Ibu pejabat Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih menerusi Operasi (OP) Kontraban itu turut menahan seorang lelaki tempatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @Saleh, risikan dilakukan polis selama sebulan sebelum melakukan serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai jenis rokok dipercayai tidak bercukai atau lari cukai disimpan dalam premis iaitu sebuah rumah teres dua tingkat. Pemeriksaaan juga dibuat terhadap sebuah kereta Toyota Altis berwarna kelabu.

“Ketika serbuan polis menemukan lebih 40 kotak besar mengandungi 2,094 karton atau kira-kira 50,000 kotak rokok. Rampasan terhadap rokok dan kereta berkenaan dibuat dengan nilai keseluruhan kira-kira RM500,000,” katanya dalam sidang akhbar hari di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, hari ini.

Beliau menambah, susulan serbuan, suspek berusia 30-an yang menjadi penjaga stor berkenaan direman selama enam hari hingga 24 Januari untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135, Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan memaklumkan modus operandi penyeludupan rokok tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan laut sebelum disyaki didaratkan di sekitar pantai negeri ini.

“Rumah terbabit dipercayai dijadikan stor simpanan rokok sebelum diedar dekat premis-premis sekitar Lembah Klang dan beroperasi kira-kira setahun lalu.

“Rokok berkenaan juga dipercayai dijual pada harga sekitar RM7 hingga RM8 sekotak. Malah, sekotak besar rokok berkenaan juga dikatakan dijual kepada premis tertentu pada harga antara RM3,000 hingga RM5,000 sekotak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya