JERANTUT: Kawanan gajah liar menceroboh kawasan pertanian komersial berdekatan kediaman penduduk sehingga merosakkan tanaman pisang dan pokok kelapa di Kampung Som, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian dua malam berturut-turut antara pukul 12.30 hingga 3 pagi semalam, kawanan gajah liar yang terdiri daripada lima ekor yang bersembunyi di Hutan Simpan Som pinggir kampung tersebut menceroboh ketika penduduk sedang nyenyak tidur.
Menurut sumber, penduduk kawanan gajah liar kerap kali menceroboh kawasan tanaman komersial berdekatan kediaman penduduk termasuk seekor gajah liar betina yang mempuyai anak juga lebih agresif ketika terdengar bunyi suara manusia.
Gajah betina ini kadang-kadang merayau masuk kampung bersendirian sehingga semua kawasan tanaman diceroboh dan dimakan, manakala selebihnya dirosakkan sehinggakan ada kalangan penduduk yang menamakan haiwan ini sebagai ‘Yang Som’.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Som, Rafiz Azuan Ahmad, 49, berkata, sejak dua malam berturut-turut tiga orang penduduk yang mempunyai tanaman komersial berdekatan rumah diceroboh kawanan gajah liar sehingga merosakkan tujuh batang pokok pisang dan lapan pokok kelapa.
“Penduduk berkenaan bukan sahaja mengalami kerugian tanamannya rosak malahan berdepan ketakutan apabila gajah liar ini menghampiri cuma kira-kira dua meter dengan rumah masing-masing.
“Punca gajah liar ini menceroboh ke kawasan penempatan di sini kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuka pintu pagar elektrik yang dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sempadan hutan berkenaan dan kemudian tidak menutup semula pada waktu petang sehingga membolehkan gajah liar lolos ke kampung ini,” katanya di Kampung Som dekat sini hari ini.
Menurut Rafiz Azuan, JPKK sudahpun menghantar laporan ancaman gajah liar tersebut kepada Perhilitan Jerantut dan wakil kerajaan negeri yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Haris Salleh Hamzah supaya tindakan yang sewajarnya diambil bagi mengelakkan ancaman hajah liar berulang
Penduduk Kampung Som, Muhamad Fairulizwan Abas, 33, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja di tempat lain, tetapi telah diberitahu oleh ahli keluarga mengenai gajah liar masuk ke kawasan tanaman pisang berdekatan kediaman kira-kira pukul 1 pagi semalam.
“Pagi ini saya pulang ke rumah dan mendapat tanaman pisang yang jaraknya kira-kira dua meter berdekatan rumah kami habis rosak dan lunyai dipijak gajah liar.
“Ahli keluarga memberitahu mereka berasa amat takut melihat haiwan liar yang besar dan agresif serta berasa bimbang gajah ini akan melanggar rumah dan juga kereta yang parkir di hadapan,” katanya.
Muhamad Fairulizwan berkata, tindakan pihak berwajib dengan apa cara sekalipun amat perlu bagi menghalang kawanan gajah liar berulang masuk menceroboh kawasan tanaman dan bimbang pula kemungkinan menjadi ancaman keselamatan penduduk.
Sementara itu, Penyelaras DUN Pulau Tawar, Haris Salleh Hamzah berkata, perkara pencerobohan gajah liar itu akan dibawa perbincangan dengan Pejabat Penghulu, Perhilitan, Jabatan Perhutanan dan JPKK termasuk kepada makluman kepada kerajaan negeri.
“Apa yang saya dapat maklumat, isu gajah liar yang masuk ke kampung cuma disebabkan pintu pagar elektrik tidak ditutup oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Jadi saya memojon kerjasama mereka yang berulang alik di laluan berkenaan perlu menutup pintu tersebut dan ahli JPKK diminta memantau keadaan pintu pagar elektrik sepanjang masa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yassin ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan kejadian itu menerusi laporan Perhilitan Jerantut terdapat antara tiga hingga lima ekor gajah yang menceroboh kampung tersebut.
“Cerapan yang dilakukan ke atas bekas tapak kaki berukuran antara 14 hingga 18 inci dan dianggarkan gajah berkenaan seberat 3 tan ada antara gajah itu berusia lebih 20 tahun,” katanya ketika dihubungi di Kuantan hari ini.
Ujarnya, anggota Perhilitan akan memantau keadaan di Kampung Som bagi mengelakkan gajah liar itu masuk kampung dan mendekati kediaman semula, manakala penduduk diminta jangan cuba menghalau atau membuat sebarang tindakan menyebabkan haiwan itu agresif.-UTUSAN