GUA MUSANG: Lebih 500 penduduk Orang Asli di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke di sini hidup dalam ketakutan selepas kawasan penempatan mereka diceroboh seekor gajah liar sejak Sabtu lalu.
Bukan itu sahaja, dakwa penduduk mereka turut berdepan kerugian RM20,000 apabila tanaman seperti ubi kayu, pisang, tebu dan petai yang diusahakan oleh mereka dimusnahkan gajah liar berkenaan.
Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang, 48, berkata, kehadiran hidupan liar itu mula dikesan memasuki kawasan penempatan penduduk sejak Sabtu lalu sekitar pukul 9 malam.
Menurutnya, pada keesokan harinya, penduduk terkejut mendapati semua tanaman mereka sudah dimusnahkan oleh haiwan berkenaan termasuk pagar.
“Kami jangka satu malam sahaja, namun sebaliknya apabila tiga hari berturut-turut tanaman kami dimusnahkan oleh hidupan liar itu.
“Kumpulan gajah ini masih berada berhampiran kampung ini sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk untuk melakukan aktiviti harian termasuk ke kebun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk Muslan Alang, 68, memberitahu, semasa mahu menoreh di kebunnya dia sempat melihat kelibat gajah berkenaan dan terus berpatah balik kerana takut haiwan berkenaan bertindak luar kawalan.
Katanya, ini merupakan kali pertama penduduk berdepan dengan ancaman gajah sejak 40 tahun mengusahakan tanaman di kawasan berkenaan.
“Gajah itu masih ada di hutan berhampiran dan kami bimbang jika keadaan berterusan akan menjejaskan sumber makanan serta pendapatan,” ujarnya.
Bagi Along Ronggeng, 59, berkata, penduduk Orang Asli tidak mempunyai pekerjaan lain dan bergantung kepada hasil tanaman untuk menanggung perbelanjaan keluarga.
Katanya, apabila berlaku kejadian itu mereka berasa kecewa kerana hasil titik peluh dimusnahkan sekelip mata.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohd. Hafid Rohani mengesahkan menerima aduan penduduk dan pihaknya akan melakukan lawatan pemeriksaan ke kawasan berkenaan.
Katanya, kakitangan Perhilitan di Gua Musang akan ke lokasi hari ini dan tindakan yang bersesuaian akan dilaksanakan. –UTUSAN