LANGKAWI: Seramai 13 pemain industri pelancongan di Langkawi menggesa satu tindakan drastik dilakukan Kementerian Pengangkutan bagi mengatasi masalah perjalanan keluar masuk feri ke pulau peranginan itu yang dianggap sebagai isu lapuk dan masih tidak berkesudahan.
Kumpulan 13 individu tersebut yang menggelarkan diri mereka sebagai Pemain Industri 13 (PI13) memaklumkan, mereka turut mewakili suara lebih ramai penggiat industri pelancongan serta komuniti di sini.
Jurucakap, Datuk Azly Rosly berkata, walaupun jumlah kemasukan pelancong pada tahun lalu didakwa mencapai sasaran 2.5 juta pengunjung, tetapi ianya belum mampu untuk memastikan kelangsungan ekonomi pulau yang 70 peratus bergantung kepada industri pelancongan itu.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Kedah/ Perlis turut meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk turun padang bagi menyelesaikan isu feri seperti yang dilakukan beliau terhadap pengangkutan awam utama di ibu negara, baru-baru ini.
“Kita nak kalau boleh lawatan rasmi Menteri Pengangkutan ke Pulau Langkawi ini janganlah menggunakan kapal terbang, lebih baik beliau cuba perkhidmatan feri, baru dapat selami apa perasaan yang rakyat Langkawi rasa selama ini.
“Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat duduk semeja dan bersepakat untuk menyelesaikan masalah ini yang membebankan pemain industri di Langkawi,” katanya dalam sidang akhbar di Persiaran Dayang, di sini, hari ini.
Azly menyatakan, sekiranya isu itu berjaya diselesaikan, pihaknya yakin Langkawi boleh menerima sehingga 4 juta orang pelancong dalam masa setahun.
Di samping itu, PI13 turut mempertikai jumlah perjalanan feri bagi laluan Kuala Kedah yang masih belum ditambah walaupun kerja-kerja pengerukan bagi laluan tersebut telah siap sepenuhnya.
Semalam, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya kini menambah kekerapan perjalanan feri sebanyak lima perjalanan sehala bagi laluan tersebut, dengan waktu perjalanan di antara pukul 7 pagi dan 7 petang setiap hari.
Azly berkata, jumlah perjalanan feri adalah sama dengan sebelum kerja pengerukan tersebut dilakukan berbanding 10 perjalanan sehala sebelum pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020.
Selain itu, pihaknya turut memahami kedudukan operator feri sebagai entiti perniagaan namun meminta pengusaha terlibat untuk mengambil kira aspek khidmat sosial penduduk di sini sebagai salah satu pengangkutan utama untuk keluar masuk ke Langkawi.
Dalam pada itu, seorang lagi wakil PI13, Rohayu Ramli berkata, jumlah perjalanan feri dan penerbangan sedia ada hanya menggunakan kira-kira 30 peratus sahaja daripada 15,500 buah bilik penginapan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Sekiranya perjalanan feri ditambah, pastinya lebih banyak bilik-bilik ini akan ditempah oleh pengunjung dan ekonomi penduduk Langkawi juga akan menjadi lebih baik,” ujarnya. -UTUSAN