SANDAKAN: Fenomena air pasang besar yang telah memasuki hari ketiga semalam tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada kediaman perkampungan atas air di daerah ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Nor Azizi Che Noh berkata, pemantauan yang dilakukan oleh anggota bomba malam tadi mendapati air pasang hanya naik sehingga 2.8 meter sahaja.
Kejadian air pasang besar kali ini tidak diiringi dengan gelombang ombak besar seperti yang berlaku pada Disember lalu di Kampung Forest.
“Berdasarkan pemantauan sepanjang tiga hari ini, kita dapati tiada rumah yang roboh dan belum ada mangsa yang dipindahkan sama ada di Kampung Forest mahupun di Kampung Sim-Sim.
“Namun, bagi rumah yang rendah, ada lantai rumah yang dinaiki air dan itu dianggap sebagai suatu kebiasaan bagi penduduk perkampungan atas air,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut beliau, pemantauan akan dilakukan sehingga esok malam bagi memastikan penduduk berada dalam keadaan selamat.
Pihaknya telah melakukan pemantauan selama tiga malam berturut-turut sebagai proses bersiap siaga jika terdapat keperluan memindahkan penduduk yang terjejas.
Walau bagaimanapun, setakat malam tadi, keadaan masih terkawal dan tiada sebarang ancaman terhadap kediaman rumah atas air dilaporkan berlaku.
Tambah beliau, fenomena air pasang besar dijadualkan berlaku bermula 20 hingga 26 Januari ini.
Pada 25 Disember lalu, lebih 100 buah rumah musnah di Kampung Forest akibat kejadian air pasang besar hingga mengakibatkan lebih 200 orang hilang tempat tinggal. –UTUSAN