FAMA sasar JDTL diadakan 10,000 kali tahun ini

FAMA sasar JTDL 10,000 kali tahun ini

ORANG ramai beratur untuk mendapatkan telur ayam yang dijual RM10 sepapan pada program Jualan Terus Dari Ladang di Ibu Pejabat FAMA di Bandar Baru Selayang, Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO/NUR ADRIANA MOHD. AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan 10,000 kali program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dapat diadakan pada tahun ini yang akan membantu para petani memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA,  Abdul Rashid Bahri berkata, pengguna pula akan mendapat akses terus barangan keperluan termasuk telur dan ayam standard.

“JTDL sepanjang tahun lalu mencatatkan nilai jualan RM16.29 juta dengan melibatkan seramai 7,586 usahawan di 1,031 lokasi seluruh negara dan merekodkan nilai penjimatan sebanyak RM1.6 juta,” katanya ketika ditemui pada program JTDL Selangor di FAMA Point, Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 262 JTDL akan diadakan sehingga Mac ini dan ditingkatkan kepada 10,000 kali jika mendapat peruntukan tambahan.

Menurutnya, program itu diadakan di seluruh negara pada hari Jumaat terakhir setiap bulan di kawasan penempatan dengan populasi penduduk yang ramai.

“Setiap lokasi JTDL menjual produk berbeza dengan fokus pada barangan keperluan yang menghadapi masalah bekalan seperti sekarang ayam dan telur,” ujarnya.

Abdul Rashid berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan agensi seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang membawa usahawan ayam dan menjualnya pada harga yang rendah.

“Hari ini misalnya kira-kira 2,000 ekor ayam dibawa dengan setiap ekor dijual RM10 berbanding harga pasaran RM15,” katanya.

Beliau berkata, FAMA menerusi program intervensi bekalan telur ayam juga membawa sebanyak 1,000 papan telur ayam ke program itu dan menjualnya pada harga RM10 sepapan.

Tambahnya, FAMA juga telah membuat persiapan untuk menghadapi permintaan komoditi yang meningkat pada musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Katanya, pengaturan bekalan telah dibuat dengan pihak pengimport dan bekalan terlibat akan diedarkan melalui 40 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara.

Bekalan terlibat katanya, adalah kubis, tomato, ubi kentang, bawang, cili, lobak, timun dan kelapa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya