PUTRAJAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memperbanyakkan jualan terus dari ladang membabitkan penyertaan 1,793 premis jualan di seluruh negara.
Itu antara lapan syor yang dikemukakan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) yang berlangsung hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dijangkakan sebanyak 10,000 kali jualan akan dilaksanakan menerusi premis jualan FAMA itu.
Beliau berkata, harga yang ditawarkan pada program jualan terus itu juga dijangka lebih rendah daripada harga pasaran.
“Syor lain termasuk meneruskan dasar kawalan harga dan subsidi ayam sementara satu dasar berkaitan mekanisme bersasar dimuktamadkan.
“Selain itu, mesyuarat turut meneliti mekanisme harga dua peringkat bagi 1.6 peratus minyak sawit mentah kemasan botol dan 8.4 peratus keluaran kemasan berpaket. Manakala 90 peratus pengeluaran minyak sawit mentah adalah bagi tujuan eksport.
“Mesyuarat juga mahu isu kos sara hidup ditangani menggunakan polisi dan perundangan persaingan sekali gus melindungi kepentingan pengguna dari ancaman kartel dan monopoli,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Dalam pada itu, katanya, syor lain termasuk menaik taraf FAMA sebagai Agensi Keterjaminan dan Sekuriti Makanan dengan objektif memastikan pengeluaran dan pengedaran makanan utama dibuat secara konsisten, cekap dan cukup.
Katanya, penyelarasan rentas negeri juga akan dilaksanakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi supaya mekanisme pelaksanaan harga dua peringkat tidak beri impak besar kepada industri dan pengguna.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Op ATM (ayam, telur dan minyak masak) dan Op Anti Sorok yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memeriksa 814,718 premis serta 31,009 penyamaran.
“Ops Bersepadu bersama-sama agensi penguatkuasaan lain turut dilaksanakan membabitkan 225 sekatan jalan raya dan 357 operasi bersepadu di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN