JERAI: Pejabat Agama Daerah Kota Setar menerima antara 10 hingga 15 pendaftaran melibatkan pernikahan di Thailand setiap bulan termasuk enam peratus daripada kes itu didapati tidak sah.
Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Datuk Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, pengesahan perkahwinan di negara jiran itu bergantung kepada siasatan dijalankan Pendaftar Nikah pejabat agama berkenaan.
“Sah atau tidak sah (perkahwinan di Thailand) itu bergantung kepada siasatan oleh Pendaftar Nikah. Ada beberapa perkara yang kita tengok dari segi wali dan jurunikah di sana apakah mereka bertauliah. Pengesahan perkahwinan itu diputuskan oleh pendaftar nikah.
“Kebanyakan sah tetapi ada juga yang tidak sah melibatkan enam peratus perkahwinan itu. Antaranya berkaitan dengan wali iaitu menggunakan wali hakim yang tidak bertauliah. Ada juga kahwin isteri orang seperti edah belum habis tetapi menikah lagi,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Majlis Pelancaran Menuai Padi Musim 1/2023 Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Batu 17, Kampung Padang Lumat, Yan di sini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar mereka yang berkahwin di Thailand mendaftar di pejabat agama dengan segera bagi mengelak sebarang kesulitan terutama apabila ia tidak sah di sisi agama Islam.
“Denda RM1,000 bagi setiap kesalahan. Orang menikah Siam (Thailand) ini tak malu sebab membelakangkan ibu bapa dan isteri pertama,” katanya.
Katanya, berdasarkan rekod perkahwinan di Thailand itu melibatkan dua jenis, iaitu pertama perkahwinan yang mendapat kebenaran dan kedua tanpa kebenaran.
“Kebanyakan yang pergi berkahwin di Thailand itu tanpa kebenaran melibatkan orang biasa dan juga VIP (orang kenamaan) adalah seorang dua.Jadi bagi yang tanpa kebenaran itu dia melakukan tiga kesalahan, yang pertama kesalahan berkahwin tanpa kebenaran bagi belum pernah berkahwin. Kedua, berpoligami tanpa kebenaran.
“Ketiga, kalau dia balik lambat mendaftar maka dia melakukan satu lagi kesalahan iaitu kesalahan lewat mendaftarkan perkahwinan,” katanya.
Beliau juga tidak menafikan bahawa pernikahan di Thailand semakin rancak setelah sempadan negara dan Thailand dibuka selepas penularan pandemik Covid-19 kembali reda. – UTUSAN