POKOK SENA: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib empat beranak di Kampung Desa Keda Batu 13 di sini yang hidup daif sehingga ada hari mereka terpaksa menjamah nasi goreng dengan garam.
Hashim Ahmad, 84, dan isteri, Basarah Mohamad, 65, serta anak dan ibu mentuanya kini bergantung hidup bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan.
Keadaan keluarga itu makin teruk apabila si anak, Nor Pahanisha, 30, terlibat kemalangan jalan raya bulan lepas yang mengakibatkan patah kaki sekali gus menyebabkan keluarga malang ini semakin terhimpit.
Kata Nor Pahanisha, sebelum patah kaki, dia dan ibunya memperoleh pendapatan tambahan membuat kerja-kerja kampung termasuk mengupas bawang.
“Saya dan emak ambil upah kupas bawang, kongsi dapatlah upah RM10. Tetapi sudah berhenti. Jadi RM500 itu sajalah yang kami belanja tiap-tiap bulan.
“Memang tak cukup kerana RM100 untuk bayar bil. Baki RM400. Adakala memang makan nasi goreng dengan garam sahaja. Beras, minyak dan gula, nasib ada orang sedekah,” katanya di sini semalam.
Katanya, kehidupan mereka sekeluarga sering diuji dengan kesempitan termasuk masalah kesihatan bapa dan nenek, Fatimah Man, 84.
Bapa dan neneknya itu perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar setiap bulan bagi penyakit darah tinggi.
Bagi yang mahu membantu keluarga ini boleh menyumbang menerusi akaun BSN atas nama Nor Pahanisha (0213041000085151). – UTUSAN