Dua tahun guna air bukit ganti bekalan air bersih

Dua tahun guna air bukit ganti bekalan air bersih

Semua negeri setuju semakan dan naikkan tarif air tahun depan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kira-kira 150 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar (RKT) Renok Baru di sini, terpaksa menggunakan air tandak atau air bukit selepas bekalan air bersih Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) terputus sejak dua tahun lalu.

Dakwa penduduk, meter dan saluran paip air bersih yang disediakan AKSB ada di rumah mereka, namun perkhidmatan itu tidak berfungsi sepanjang tempoh tersebut.

Seorang penduduk, Mohd. Noor Fazley Hussein, 32, berkata, mereka hanya menggunakan air tandak dari sebatang sungai terletak kira-kira empat kilometer dari kampung itu.

Katanya, meskipun tidak dapat menggunakan perkhidmatan bekalan air bersih, penduduk tetap perlu membayar bil air AKSB sekurang-kurangnya RM5 setiap bulan.

“Kami tiada pilihan dan terpaksa menggunakan sumber air tandak untuk aktiviti seharian seperti mandi, minum dan memasak. Sudah hampir dua tahun kami menggunakan air tandak ini. Kadangkala kualiti air menjadi kotor dan keruh apabila musim hujan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Katanya, sehubungan itu, seramai 28 keluarga di kawasan ini perlu mengumpul wang bulanan sebanyak RM10 setiap keluarga untuk pengurusan dan perkhidmatan membersihkan kawasan sumber air.

Seorang lagi penduduk, Muhamad Sanazi Tahir, 29, berkata, mereka perlu ke sungai itu untuk membersihkan kawasan sumber air bagi mengelakkan saluran tersumbat setiap bulan.

Katanya, mereka berjalan kaki sejauh kira-kira dua kilometer untuk sampai ke tempat punca air yang terletak di dalam hutan.

“Jika keadaan hujan berterusan, kami perlu lebih kerap membersihkan daun-daun dan ranting kayu yang boleh menyebabkan saluran tersumbat.

“Kami berharap AKSB dapat membantu dengan menyediakan air bersih seperti yang kami terima sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, beliau mengambil maklum masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya