Dua maut kemalangan kereta, van pekerja - Utusan Malaysia

Dua maut kemalangan kereta, van pekerja

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa dalam kereta Perodua Kelisa yang terlibat kemalangan dengan sebuah van pekerja di Jalan Beruas-Parit hari ini. - UTUSAN/JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Dua warga emas maut manakala tiga cedera apabila sebuah kereta Perodua Kelisa terlibat kemalangan dengan sebuah van pekerja di Jalan Beruas-Parit, dekat sini pagi tadi.

Dalam kemalangan itu, pemandu Kelisa, Fatimah Mohd. Ali, 64, dan seorang penumpang belakang, Mohd. Ibrahim Md. Deram, 77, maut di lokasi kejadian.

Sementara, dua lagi penumpang, seorang lelaki berusia 70 tahun dan wanita berusia 53 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk menerima rawatan.

Seorang lagi yang cedera ialah seorang wanita yang memandu van berseorangan, hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk menerima rawatan.

Difahamkan, kesemua empat orang dalam Kelisa dari Kampung Simpang Tiga Beruas dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Beruas untuk menjalani pemeriksaan kesihatan rutin.

Kemalangan itu juga mengakibatkan kereta Kelisa tercampak ke tebing jalan sedalam kira-kira tiga meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Penolong Penguasa Bomba Akmal Azizi Elias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.04 pagi.

Katanya, seramai 13 anggota terdiri daripada tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis dan selebihnya dari BBP Parit bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian didapati kereta Kelisa sudah berada di bawah tebing jalan dan didapati pemandunya tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, pihaknya kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit serta membawa keluar mangsa lain daripada kereta tersebut.

Beliau menjelaskan, pihak perubatan yang berada di tempat kejadian kemudian mengesahkan dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 11.05 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya