KEMAMAN : Dua buah rumah di Kampung Geliga Baru, dekat sini mengalami kerosakan apabila bahagian dapur runtuh akibat kejadian hakisan pantai selepas dibadai ombak dalam fenomena air laut pasang besar dan angin kencang pada awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, keluarga yang tinggal di rumah terbabit sempat menyelamatkan diri sebelum berlaku kejadian lebih buruk.
Malah, pagar Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas yang terletak di pinggir pantai di kampung itu juga runtuh dalam kejadian itu.
Salah seorang mangsa, Normah Mahmud, 63, berkata, dia yang ditemani anaknya, Wan Azlam Ramli, 40, hanya mampu berpelukan apabila dinding dapur rumahnya tiba-tiba runtuh dan kebanyakan perabot dan peralatan dapur dibawa ombak.
“Masa kejadian, memang ombak dan angin sangat kuat. Saya terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum anak lelaki yang berada di dapur tiba-tiba berlari meluru sambil beritahu rumah runtuh.
“Kami saling berpelukan dalam ketakutan kerana khuatir bahagian depan rumah juga runtuh sebelum bertindak menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Kampung Geliga Baru di sini, hari ini.
Ibu tunggal kepada lima anak ini berkata, dia sedih berikutan rumah yang dibina dengan hasil titik peluh bersama arwah suaminya, Ramli Wan Abdullah sejak 30 tahun lalu kini hanya menunggu masa untuk roboh.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Geliga Baru, Wan Ahmad Darus Wan Musa berkata, hakisan pantai yang semakin kritikal dikhuatiri akan memusnahkan kira-kira lapan lagi kediaman penduduk yang lain.
“Penduduk di kawasan pantai ini tidak dapat tidur lena setiap kali musim tengkujuh sebab semakin hari, hakisan semakin teruk dan apabila berlaku air pasang besar.
“Kita harap pihak berkuasa mengambil tindakan segera sama ada membina penempatan baharu atau membuat benteng pemecah ombak,” ujarnya.
Menurutnya, sehingga kini, kira-kira 20 buah rumah penduduk telah musnah dibadai ombak dan hakisan pantai sejak 10 tahun lalu. – UTUSAN