PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan Dr. Hazami Jahari dilantik sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-13, berkuat kuasa pada hari ini.
Dengan pelantikan itu, DBP yakin, beliau akan terus memacu dan memperkasakan hala tuju DBP seiring dengan imejnya sebagai badan yang berautoriti yang memartabatkan bahasa Melayu.
Jelas DPB, ia selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu bahasa rasmi negara.
“Sejajar dengan kredibilitinya sebagai Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, kami juga percaya beliau berupaya untuk meneruskan kecemerlangan DBP dengan pelbagai programyang dirancang menerusi Pelan Strategik DBP 2021–2025.
“Iaitu memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik, iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi, Bahasa Melayu, sebagai Bahasa Negara, dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu,” tambah DBP.
Sedikit latar belakang mengenai beliau adalah pemegang Ijazah Doktor Falsafah Kesusasteraan dari Universiti Sains Malaysia dan mula berkhidmat di DBP pada tahun 1992 serta mempunyai pengalaman luas dalam bidang bahasa dan sastera.
Selain itu daripada itu, beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (Penulisan Kreatif dan Deskriptif) dan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Penulisan Kreatif dan Deskriptif) dari Universiti Malaya.
Beliau juga merupakan seorang yang aktif dalam melaksanakan pelbagai program berkaitan dengan pembinaan, pengembangan dan penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai usaha bagi mengangkat dan memartabatkan bahasa kebangsaan.
Sebelum menjawat portfolio sebagai Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan pada tahun 2021, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (2019), Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (2018) dan menerajui DBP Cawangan Sarawak (2014–2016).
Malah sepanjang beliau berkhidmat di DBP, banyak anugerah yang pernah diperolehnya atas pencapaian dan usaha dalam perkhidmatan beliau.
Antaranya ialah Anugerah Perkhidmatan 25 tahun (2018), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2012), Anugerah Perkhidmatan 20 tahun (2012), Anugerah Perkhidmatan 15 tahun (2007), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (1998) dan Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (2015).
Pelantikan Dr. Hazami tersebut adalah bagi menggantikan tempat Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran yang telah menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 28 November lalu.
Turut hadir menyaksikan majlis penyerahan surat pelantikan beliau di KPM petang tadi ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah Pendidikan , Datuk Pkhruddin Ghazali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan (KPM), Ramzi Mansor.-UTUSAN