KUALA KANGSAR: Bapa kepada seorang anak dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menghantar gambar lucah menerusi aplikasi Telegram, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Asyraf Ahmad Suhaimi, 28, juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas Muhamad Asyraf mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu imej yang lucah sifatnya dengan niat untuk menganiaya orang lain.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu melalui aplikasi Telegram dengan nama akaun ‘Acap’ pada pukul 1.57 pagi, 8 Januari 2020.
Hantaran itu kemudiannya dilihat pada pukul 10 pagi di Persiaran Putri 3/16, Taman Chandan Putri 3, Kuala Kangsar pada 9 Januari 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Siti Hajar Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya merayu hukuman diringankan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap selain perlu menanggung seorang isteri dan anak. Lelaki itu juga mengakui menyesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Bagaimanapun, Siti Hajar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah pihak lain agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
Hakim Rohaida kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar selain barang kes diserahkan kepada SKMM untuk dilupuskan. – UTUSAN