CIK Bunga kadang kala geram juga dengan segelintir bakat baharu. Jangan tidak tahu, ada di antara mereka yang tidak mahu mengaku sebagai artis baharu.
Pelik bukan? Ada juga manusia macam ini. Nak tahu tak kenapa Cik Bunga hanya sebut sebagai bakat baharu, bukan pelakon atau penyanyi?
Ha… Satu sebabnya, walaupun sudah ada single yang dihasilkan, Cik Bunga rasa macam tidak layak untuk panggil dia sebagai penyanyi.
Iyalah, kalau buat single sekadar ada dan hanya untuk pastikan diri relevan, itu belum boleh dianggap sebagai penyanyi. Apatah lagi, kalau memang sejak azali, suara gitu-gitu sahaja.
Tidak ada momentum dan langsung tidak memberi impak. Jadi, buat apa Cik Bunga nak panggil dia penyanyi?
Sudahlah menyanyi pun standard berada di bilik karaoke sahaja, lepas itu mengharapkan orang industri melayannya seperti sudah 20 tahun menyanyi. Berangan diva!
Bukan tidak ada orang begini dalam industri, ramai. Tetapi, yang jenis begini memang ‘ketegaq’ sikit, kata orang Utara.
Entahlah, industri kita ni pun adakala terlalu membuka ruang kepada orang yang tidak relevan untuk bertapak.
Kalau Cik Bunga, memang malas nak layan. Lainlah kalau dia betul-betul boleh diketengahkan sebagai bintang dan ada kualiti. Ini, jauh panggang dari api.
Perangai pula macam itu, lagilah tak kuasa nak layan.