SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengesahkan pihaknya tidak akan menaikan kadar cukai taksiran tahun ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, buat masa ini, pihaknya masih menyemak dan menilai perkara itu, malah perbincangan mengenainya sudah dimulakan tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya ingin memaklumkan bahawa cukai taksiran di daerah ini tidak pernah disemak sejak 20 tahun lalu.
“Jika dibandingkan dengan kenaikan harga barang dan kenaikan gaji pekerja, kutipan cukai taksiran dengan perkhidmatan yang kami tawarkan dilihat tidak berbaloi.
“Kita sudah melantik perunding atau jurunilai untuk berbincang dan menyemak serta menilai cukai taksiran itu.
“Semakan sudah dibuat sejak tahun lalu, namun pelaksanaan cukai taksiran baharu tidak akan dibuat pada tahun ini,” katanya selepas Majlis Angkat Sumpah Menerima Jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua dan Ahli Majlis, MPSepang bagi penggal 2023, hari ini.
Katanya, pihaknya akan melengkapkan proses rundingan dan semakan tahun ini, namun kelulusan bagi melaksanakan cukai taksiran baharu itu akan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Abd Hamid berkata, pihaknya menjangkakan kenaikan cukai taksiran baharu adalah pada kadar 20 peratus.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abd Hamid berkata, pihaknya akan mula membuka permohonan bagi tapak bazar Ramadan secara atas talian mulai 16 Januari ini dengan 550 tapak disediakan membabitkan 11 kawasan di sekitar daerah ini.
Terdahulu, Abd. Hamid menyerahkan menyerahkan surat akuan sumpah kepada Timbalan Yang Dipertua MPSepang yang baharu kepada Muhamad Shah Osmin selain menyempurnakan majlis angkat sumpah 23 ahli majlis.
Ahli majlis berkenaan terdiri daripada 17 lantikan semula dan enam lagi muka baharu. – UTUSAN