BUTTERWORTH: Sebanyak 463 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis dengan berat lebih 1.6 tan yang dipercayai dibawa masuk sempena sambutan Tahun Baharu Cina antara yang berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di George Town, 9 Januari lalu.
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki berusia antara 30 hingga 42 tahun yang ketika itu sedang memunggah barang tersebut ke dalam sebuah lori bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, mercun serta bunga api pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam itu dianggarkan bernilai RM87,010 dengan duti dan cukai terlibat berjumlah RM56,556.50.
“Siasatan mendapati barangan itu dibawa masuk melalui salah sebuah negara di Asia Tenggara menggunakan pengangkutan darat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas beliau, siasatan lanjut mendapati, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah dengan membawa masuk mercun dan bunga api melalui jalan darat tanpa membuat pengikraran yang sah.
Kata beliau, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali amaun duti kastam atau RM500,000 mana lebih besar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, katanya, sejumlah 510 unit dapur memasak hob (elektrik) yang disyaki tidak berkastam bernilai RM358,500 dengan duti dan cukai berjumlah RM114,720 turut berjaya dirampas dalam serbuan berasingan kira-kira pukul 11 pagi, 10 Januari lalu.
Hamisan berkata, ia susulan pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pengkalan Kontena Butterworth Utara yang dipercayai diimport sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Pasir Mas, Kelantan.
“Seorang wanita berusia 34 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. Suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan,” katanya yang memberitahu, dagangan berkenaan dipercayai dari sebuah negara di Asia Timur.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamisan memaklumkan, sebanyak 129 unit skuter elektrik disyaki tidak berkastam bernilai RM283,800 dengan duti dan cukai berjumlah RM85,140 turut dirampas dalam serbuan ketiga iaitu kira-kira pukul 4.30 petang, 16 Disember lalu. – UTUSAN