SATU persatu khabar gembira sampai ke telinga Cik Bunga kebelakangan ini ketika industri hiburan dihambat pelbagai berita kontroversi.
Tidak dinafikan, Cik Bunga juga sama seperti netizen yang ada ketika penat apabila terpaksa menghadap satu demi kontroversi demi kontroversi yang bagaikan tidak berkesudahan.
Tetapi, nak buat macam mana, kalau netizen dan masyarakat lebih tertarik untuk ambil tahu cerita kontroversi. Kita buat sahaja kerja kita.
Bertemu dengan Chacha Maembong, baru-baru ini, pelakon kecil molek itu memaklumkan, hatinya terpanggil untuk ke Tanah Suci menunaikan ibadah umrah.
Gembira bukan kepalang Cik Bunga mendengarnya. Iyalah, bukan semua mendapat peluang istimewa itu. Tambahan pula, sebagai manusia, kita juga tidak terlepas berbuat dosa.
Kata Chacha, dia akan menunaikan umrah pada 26 Januari ini bersama keluarganya. Mulanya dia macam tidak pasti untuk pergi atau sebaliknya, memikirkan urusan kerja dan jadual yang padat.
Namun, dia bulatkan juga hati untuk teruskan niat baik itu. Kalau ditangguh-tangguh, kita tidak tahu bila lagi akan mendapat panggilan untuk ke rumah-Nya. Betul tak? Alhamdulillah, rezeki Chacha.
Rupa-rupanya, tarikh itu sama dengan tarikh Puteri Sarah berangkat ke Mekah. Kebetulan pula.
Tak apalah, semoga masing-masing dapat menunaikan ibadah dengan tenang. Doakan Cik Bunga juga ya!