TUMPAT: Kira-kira 500 pelajar dari tiga buah sekolah di sini berdepan bahaya apabila bumbung jejantas pejalan kaki di hadapan Sekolah Maahad Muhammadi Pasir Pekan di sini, pecah sejak empat bulan lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, masih terdapat serpihan bumbung yang tidak dibersihkan sekali gus mengundang bahaya terutama kepada pelajar setiap kali menggunakan kemudahan itu.
Difahamkan, jejantas tersebut digunakan oleh pelajar dari Sekolah Maahad Muhammadi Pasir Pekan; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud Mahyiddin dan SMK Agama Falahiah.
Seorang pelajar, Najihah Mat Zuki, 14, berkata, disebabkan tidak mempunyai pilihan, dia dan rakan-rakan terpaksa menggunakan kemudahan itu walaupun berdepan risiko.
“Setiap kali hujan, kawasan ini akan ditakungi air menyebabkan kami terpaksa berhati-hati untuk mengelak tergelincir kerana lantai jejantas menjadi licin.
“Selain itu, pelajar yang menggunakan kemudahan ini akan turut basah setiap kali hujan disebabkan ketiadaan bumbung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang bapa, Razak Ali, 60, memberitahu, dia berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah segera untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, hal ini kerana ia melibatkan soal keselamatan pelajar sekolah yang menggunakan kemudahan itu.
Sementara itu, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kelantan, Mohd. Hushaimi Hussin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut sudah berada dalam makluman dan tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, dia yakin isu tersebut akan diselesaikan dengan segera kerana melibatkan soal kepentingan pelajar. – UTUSAN