Budaya rasuah melibatkan keseluruhan sistem - PM - Utusan Malaysia

Budaya rasuah melibatkan keseluruhan sistem – PM

ANWAR Ibrahim berucap di hadapan lebih 1,200 penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri Perlis di Dewan 2020, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Budaya rasuah bukan hanya tertumpu kepada ketua di peringkat atasan semata-mata namun turut melibatkan keseluruhan sistem bagi sesebuah organisasi atau jabatan di dalam kerajaan itu sendiri.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap seluruh kakitangan kerajaan mempunyai kesedaran dalam memastikan budaya rasuah ini dapat dibendung secara berkesan termasuk di peringkat akar umbi.

Anwar berkata, keseluruhan sistem yang lemah menyebabkan suasana demokrasi gagal untuk disuburkan berikutan setiap pihak tidak mempunyai sikap kebertanggungjawaban.

“Seluruh sistem akan lemah di mana para pemikir juga akan menjadi lesu dan mengampu, malah suasana bebas yang kita anggap sebagai demokrasi juga perlulah diukur dari aspek kebertanggungjawaban,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; barisan Exco kerajaan negeri dan lebih 1,200 penjawat awam negeri ini.

Anwar berkata, langkah menjatuhkan hukuman ke atas beberapa individu yang terpalit dengan budaya rasuah dilihat tidak menjadi pengajaran dan bukannya penyelesaian utama bagi isu rasuah di negara ini.

“Budaya ini sememangnya merunsingkan kita semua dan saya bimbang sekiranya ia akan menjalar sehingga ke peringkat bawah.

“Bayangkan setelah negara kita dihebohkan dengan kes berskala besar namun masih ada lagi isu-isu yang berkaitan rasuah berlaku,” katanya.

Tambah Anwar, beliau berharap agar semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dan bersepakat dalam membantu memulihkan semula negara daripada terpalit dengan budaya rasuah ini.

“Selamatkanlah negara kita, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pun sudah berlalu, kita kena sepakat dalam hal ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya