SIK: Kepulangan seorang wanita dari Pulau Pinang ke rumah pusaka keluarganya di Kampung Kalai, Jeneri di sini, semalam membawa kepada penemuan sepasang ular tedung yang dipercayai sedang mengawan di belakang mesin basuh.
Nai Anek, 52, berkata, adik perempuannya yang tiba ke rumah itu terkejut apabila melihat botol-botol sabun dan pencuci rambut berselerak di atas lantai bilik air lalu menyuluh di bawah mesin basuh terbabit.
“Adik ternampak ada sesuatu yang berwarna kehitam-hitaman yang sedang bergerak lalu segera menutup pintu bilik air kerana bimbang jika ular-ular tersebut berbahaya dan masuk ke ruang tamu atau bilik tidur.
“Selepas itu kami menghubungi Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) untuk menangkap ular tersebut sebelum diberitahu reptilia itu merupakan spesis ular tedung sami,” katanya ketika ditemui, petang semalam.
Sementara itu, Pengerusi BSYJM, Mahadzir Abdul Hamid berkata, empat anggotanya bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi setelah menerima aduan daripada pemilik rumah kira-kira pukul 12.30 tengahari.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota melakukan pemeriksaan di bahagian belakang mesin basuh dan mendapati sepasang ular tedung sami sedang berlingkar dan agak agresif.
“Kebiasaannya ular yang sedang mengawan ini sangat berbahaya dan kami terpaksa berhati-hati untuk menangkapnya yang memakan masa kira-kira 10 minit sebelum berjaya menangkap kedua-dua ular terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata, sekitar pukul 5.15 petang hari sama, pihaknya menerima satu lagi panggilan mengenai ular tedung selar di kawasan surau Kampung Keda Sungai Semiar di Jeneri.
“Ular tersebut dengan berat hampir lapan kilogram (kg) dan panjangnya kira-kira empat meter berjaya ditangkap oleh anggota BSYJM sebelum kesemua reptilia itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.