GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan nelayan warga asing tanpa kebenaran yang sah semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam rondaan Op Pertiwi dan Op Tanjung, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Katanya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 38 kilometer barat daya Pulau Kendi.
”Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan lima kru, kesemuanya warga Myanmar berumur antara 24 hingga 33 tahun.
”Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, dua daripada kru tidak mempunyai sebarang surat pengenalan diri yang sah dan pemilik bot telah melakukan kesalahan menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
”Bot serta kesemua kru ditahan termasuk 50 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.
Tegasnya, Maritim Malaysia tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN