Bot nelayan tempatan dikendalikan warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Bot nelayan tempatan dikendalikan warga asing ditahan

WARGA asing yang mengendalikan bot nelayan tempatan yang ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang dalam operasi di perairan Pulau Kendi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Pulau Kendi, di sini semalam kerana dikendalikan tekong dan kru warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot Maritim Malaysia memeriksa sebuah bot nelayan tempatan kelas C ketika melaksanakan rondaan Op Pertiwi
sekitar pukul 4.30 petang.

”Bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan di kedudukan 28.1 kilometer barat daya Pulau Kendi.

”Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan tekong warga Thailand dan empat kru warga Myanmar berumur antara 26 hingga 68 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

”Bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut anggaran150 kilogram dibawa ke Jeti Limbong Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

Sehubungan itu, tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di zon maritim Malaysia.

”Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya