SHAH ALAM: Siasatan lanjut terhadap pengubahsuaian yang dibuat terhadap Wisma Jakel yang terbakar pada 1 Januari lalu itu akan dilakukan termasuk mendapatkan maklumat daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Bagaimanapun, bangunan dekat Seksyen 7 yang terdiri daripada blok kedai lima dan tiga tingkat itu disahkan mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perubahan bangunan tersebut, namun tidak menolak jika terdapat perubahan plan dilakukan oleh pengurusan Jakel.
“Ubah suai, saya akan semak balik dan saya akan siasat secara mendalam dan di akhir bulan ini kita akan tahu. Sebab kita pun akan dapatkan maklumat daripada MBSA tentang bangunan tersebut.
“Dari segi bangunan, saya rasa memang begitulah (bentuknya) sebab kita tidak menerima sebarang pelan perubahan bangunan. Bangunan asal memang ada CF, kalau ada perubahan mungkin ia dalam proses (mendapatkan kebenaran),” katanya ditemui pemberita selepas menyaksikan penyampaian Anugerah Pingat Jabatan kepada 83 pegawai dan anggota, hari ini.
Terdahulu, cawangan gedung kain dan pakaian terkenal Jakel di bandar raya ini musnah dalam kejadian kebakaran pada awal pagi hari pertama tahun 2023. Kemudian bangunan di Jalan Plumbum S7/S itu terbakar sekali lagi melibatkan stor simpanan stok kain.
Kejadian tersebut menyebabkan Jakel mengalami kerugian lebih RM100 juta dan lebih malang cawangan terbabit adalah kedua termaju apabila mencatatkan jualan sehingga RM300 juta dalam masa setahun.
Namun, difahamkan bangunan tersebut diubah suai pada bahagian stor di tingkat atas apabila menghubungkan antara lot-lot kedai dalam bangunan sama.
Dalam pada itu, Norazam memaklumkan laporan siasatan terhadap kebakaran Jakel dijangka diketahui pada hujung bulan ini selepas semua dokumen dan sampel di analisis untuk mengenal pasti punca kebakaran.
“Saya jangka (laporan) selewat-lewatnya akhir bulan ini. Kita ada beberapa sampel yang diambil, antaranya berkaitan dengan bahan di bangunan itu sendiri pada setiap tingkat. Saya tak pasti berapa jumlah yang dianalisis.
“Tetapi, di setiap tingkat kita kaji dan juga beberapa sampel yang ditempat kali kedua terbakar pun kita buat analisis. Ya, pada setiap bahagian,” jelasnya.
Beliau menambah, bomba tidak lagi menempatkan pasukan pada Pusat Kawalan Hadapan (PKH) di sana dan sudah menyerahkan premis tersebut kepada pemiliknya untuk tujuan baik pulih dan sebagainya. – UTUSAN