Bomba selamatkan penduduk terperangkap banjir kilat - Utusan Malaysia

Bomba selamatkan penduduk terperangkap banjir kilat

ANGGOTA bomba membantu mangsa yang terperangkap selepas jambatan yang menghubungkan rumah dan jalan utama terputus di Kampung Sahom, Kampar hari ini. - UTUSAN/JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Enam individu termasuk dua kanak-kanak perempuan yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Kampung Sahom di sini petang tadi, diselamatkan anggota bomba.

Kesemua mereka dibawa keluar ke kawasan selamat selepas jambatan yang menghubungkan sebuah rumah di seberang sungai ‘terputus’.

Penolong Pengarah Bahagian Latihan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 6.24 petang.

Katanya, seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar dan Gopeng telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi tujuan menyelamat.

“Kejadian berlaku berikutan hujan lebat yang menyebabkan air Sungai Rias naik mendadak setinggi tujuh meter.

“Terdapat 10 buah rumah terjejas akibat banjir kilat di mana enam buah rumah berada di seberang sungai yang dihubungkan dua jambatan,” katanya di sini hari ini

Menurut beliau, kedua-dua jambatan tersebut bagaimanapun terjejas di mana salah sebuah jambatan telah terputus.

“Proses memindahkan mangsa membabitkan tiga wanita, seorang remaja lelaki dan dua kanak-kanak perempuan dengan menyeberangi sungai dilakukan menggunakan tali dan ‘Personal Floating Device (PFD)’.

“Kesemua mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom bersama penduduk lain.

“Ketika ini paras air sungai mulai surut namun empat anggota diletakkan di lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya