PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memohon kerajaan kira-kira 3,000 hingga 4,000 kakitangan tambahan bagi menampung tenaga manusia terutamanya dalam tempoh kecemasan.
Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kerajaan mungkin boleh melihat sama ada ia boleh dilaksana secara berfasa.
Katanya, pihaknya bagaimanapun percaya bahawa kakitangan JBPM ketika ini masih dalam peringkat yang bersedia untuk beroperasi dengan adanya bantuan daripada Bomba Bantuan dan Bomba Sukarela.
“Jadi kita akan membentangkan kepada pihak kerajaan bahawa fasa ini kita bahagikan kepada tiga. Yang kritikal dulu fasa satu, keduanya adalah memastikan bahawa kita beroperasi secara strategik kita pergi fasa dua.
“Fasa tiganya kita akan memperkukuhkan termasuk pemodenan perkhidmatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tahunan JBPM 2023 di sini hari ini. – UTUSAN