Bomba analisis sampel kebakaran enam rumah - Utusan Malaysia

Bomba analisis sampel kebakaran enam rumah

AZMI Osman (tiga dari kiri) melawat Tokong Kwan Yin Tong pada Kempen Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah mengambil beberapa sampel kebakaran melibatkan enam buah rumah di Jalan Bagan Ikan, Bagan Datuk Isnin lalu untuk dianalisis.

Pengarah JBPM negeri, Azmi Osman berkata, sampel itu telah pun dihantar ke makmal bagi mengetahui punca sebenar kebakaran yang meragut nyawa seorang lelaki warga emas.

Katanya, keputusan analisis tersebut akan diketahui dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

“Setakat ini, siasatan di lokasi kebakaran mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui pada Kempen Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Tokong Kwan Yin Tong dekat sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 6.42 pagi itu, mangsa, Ong Chok Seng, 83, ditemui rentung setelah terperangkap di dalam bilik di rumahnya.

Dalam kebakaran melibatkan lima buah rumah lain itu, cucu perempuan mangsa berusia 24 tahun mengalami kecederaan di lutut dipercayai ketika menyelamatkan diri.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Azmi mengingatkan orang ramai yang berhasrat ke Pulau Giam di Pulau Pangkor agar peka dan sentiasa berwaspada kepada pasang surut air laut.

Katanya, mereka disaran agar mendapat maklumat yang tepat daripada agensi berkaitan terutama Jabatan Laut sebelum berjalan kaki ke pulau berkenaan.

“Bagi memastikan keselamatan pengunjung, kita telah melaksanakan pelan kontingensi dan tahap keselamatan di kawasan itu melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor.

“Selain itu, kita akan meletakkan pasukan bersama peralatan menyelamat yang asas untuk bersedia, sekiranya berlaku insiden tidak diingini, kita dapat tanganinya dengan lebih cepat,” katanya.

Kejadian air surut yang membolehkan orang ramai berjalan kaki dari Teluk Nipah ke Pulau Giam berlaku sekali atau dua kali dalam setahun khususnya awal tahun dan sering kebetulan terjadi ketika cuti Tahun Baharu Cina menyebabkan ia sering menjadi tumpuan pelancong.

Bagaimanapun, kejadian air surut itu hanya berlaku dalam tempoh singkat iaitu kira-kira dua jam pada waktu pagi menyebabkan ada yang lemas ketika berjalan semasa air pasang semula atau terperangkap di Pulau Giam yang berkeluasan 2.1 hektar itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya