KUALA LUMPUR: Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk menggantung perbicaraan kes rasuah melibatkan pelaburan RM150 juta wang Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan demikian selepas membenarkan permohonan pasangan suami isteri tersebut sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Sehubungan itu, Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan prosiding bela diri yang dijadualkan bermula hari ini dan menetapkan kes berkenaan disebut pada 27 Januari ini bagi membolehkan pihak-pihak memaklumkan perkembangan rayuan.
Dalam notis usul dan afidavit sokongan yang diikrarkan pada 22 Disember lalu, Bung Moktar menyatakan, wujud keadaan khas atau luar biasa yang mewajarkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen digantung sepenuhnya sehingga rayuan didengar dan dilupuskan.
Pemohon-pemohon menyatakan, jika perbicaraan tersebut diteruskan, ia akan mencetuskan ketidakadilan kepada mereka dan menyebabkan rayuan di Mahkamah Rayuan menjadi akademik.
Ketika kes di sebut di hadapan Hakim Rozina Ayob sejurus selepas itu, peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar memaklumkan, Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes pada 25 Januari ini.
Athimulan menyatakan, oleh kerana pengurusan kes ditetapkan pada 25 Januari, pihaknya memohon tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen ditetapkan pada Februari ini.
Bagaimanapun, Rozina tidak bersetuju dengan tarikh sebutan pada Februari dan mencadangkan pihak-pihak memfailkan sijil perakuan segera bagi memohon agar prosiding rayuan dipercepatkan.
“Kes ini ‘tergantung’ sejak 2019, saya pasti kedua-dua tertuduh gelisah dan ingin mengetahui apa kesudahan perbicaraan ini.
“Jadi kedua-dua pihak boleh memfailkan sijil perakuan segera dan memohon tarikh awal dan perkara ini boleh diuruskan. Mereka (Mahkamah Rayuan) akan menimbangkannya kerana kes ini bermula 2019,” ujar Rozina.
Selain menetapkan sebutan pada 27 Januari ini, Rozina turut melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan pada 9 hingga 13 Januari ini.
Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sophian Zakaria dan Law Chin How.
Rozina sepatutnya mendengar keterangan bela diri Bung Moktar, 65, hari ini atas pertuduhan rasuah manakala Zizie Izette, 45, menghadapi pertuduhan bersubahat dengan suaminya.
Bagaimanapun, pasukan pembelaan mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan perbicaraan bagi membolehkan rayuan didengar dahulu di Mahkamah Rayuan.
Pasangan suami isteri itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan.
Pada 9 Disember lalu, Azhar memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN