PUTRAJAYA: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) memohon kesemua 1,200 agensi pekerjaan berlesen diberikan kebenaran membantu majikan tempatan dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dilanjutkan kerajaan pada tahun ini.
Setiausaha Agungnya, Dr. Sukumaran Nair berkata, ini termasuk membenarkan agensi-agensi pekerjaan berlesen di negara ini diberi mandat untuk memainkan peranan mereka agar segala kesulitan dalam proses permohonan hinggalah kemasukan pekerja asing ke Malaysia dapat diselenggarakan dengan mudah.
Katanya, ia sekali gus dapat mengurangkan kos pengrekrutan pekerja asing ke Malaysia mengikut kehendak perlembagaan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
“PAPSMA mengalu-alukan usaha kerajaan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing untuk membenarkan majikan menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber termasuk sambungan program rekalibrasi semula pekerja asing yang berada di negara ini sehingga 31 Disember 2023.
“Program baharu ini adalah satu langkah bijak dan positif kerajaan ke arah mempercepatkan kemasukan pekerja asing ke Malaysia khususnya untuk kuota yang telah diluluskan sebelum ini.
“Langkah ini akan mengurangkan masa menunggu oleh majikan ekoran proses lambat diambil negara-negara sumber untuk membawa masuk pekerja migran dari negara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui pelan baharu itu, majikan dari tujuh sektor kritikal yang memerlukan pekerja asing boleh membuat permohonan secara terus atau melalui ejen dengan jaminan kelulusan diberikan dalam tempoh kurang tiga hari.
Menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dilanjutkan dan berkuat kuasa serta-merta itu, semua PATI yang berada di negara ini diberikan pilihan untuk pulang atau bekerja dengan tampil berdaftar yang akan dikenakan caj bayaran tertentu.
Sukumaran berkata, kelulusan kuota pekerja asing oleh kementerian Sumber Manusia dipercayai mencecah 400,000 orang, tetapi dianggarkan hanya 40 peratus daripada jumlah tersebut tiba di negara ini sejak kelulusan kuota itu diberikan pada Jun tahun lalu.
Katanya, PAPSMA juga menerima konsep peralihan proses kelulusan dari Kementerian Sumber Manusia ke Kementerian Dalam Negeri melalui agensi-agensi kawal selia bagi permohonan pekerja asing.
Walau bagaimanapun, pihaknya mengharapkan kedua-dua kementerian ini bekerjasama erat bagi memastikan kelancaran kemasukan pekerja asing dalam masa singkat tanpa kerumitan dalam proses dan protokol yang dimeterai bersama.
“PAPSMA juga menyeru agar proses baharu dan protokol aliran kerja bersama dengan dokumentasi digital harus diberi keutamaan segera agar permohonan baharu dari majikan tidak terbantut sekali gus ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya dapat dipertingkatkan,” katanya. – UTUSAN