KUALA LUMPUR: Penganjur konsert kumpulan Blue, Hitman Solutions dan Happymoon mengesahkan kesemua anggota kumpulan berkenaan akan hadir menjayakan konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour pada 10 Febuari depan, meskipun anggotanya, Lee Ryan berdepan kes mahkamah di United Kingdom (UK).
Pengasas Happymoon, Kesavan Purusotman berkata, pihak pengurusan Blue memaklumkan, konsert di ibu negara itu bakal berjalan seperti dirancang, melibatkan keempat-empat anggota kumpulan tersebut.
“Kami maklum tentang kes mahkamah yang dihadapi salah seorang anggotanya, tetapi perkara itu tidak menggangu perjalanan konsert mereka di sini.
“Malah, pihak pengurusan mereka juga memberi jaminan kesemua ahli akan hadir menjayakan konsert ini nanti.
“Jadi, tidak ada apa-apa perubahan setakat ini dan konsert akan berlangsung seperti dirancang,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.
Lee Ryan, 39, sebelum ini didapati bersalah kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman kepada seorang anak kapal British Airways.
Dalam kejadian yang berlaku pada Julai tahun lalu itu, Ryan, yang di bawah pengaruh alkohol memanggil pramugari penerbangan tersebut sebagai ‘biskut coklat’ dan mahu memiliki anak bersamanya.
Mahkamah bagaimanapun, menetapkan 24 Februari ini untuk menjatuhkah hukuman, manakala penyanyi yang kini menetap di Sepanyol itu dibenarkan untuk diikat jamin.
Sementara itu, pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal memaklumkan masih berbaki 50 peratus tiket konsert berkenaan yang belum terjual.
“Kami terima banyak pertanyaan daripada peminat. Ramai yang sangat berminat untuk membeli tiket kategori VIP dan Gold.
“Kami yakin konsert ini akan berjaya dan lebih ramai peminat membuat pembelian tiket pada saat akhir.
“Kami harus berterima kasih kepada media sosial yang membuatkan konsert ini diperkatan ramai, meskipun bersaing dengan lambakan konsert lain di Malaysia,” ujarnya.
Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour bakal berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pukul 8 malam.
Tikat dijual pada harga antara RM188 hingga RM688. Untuk pertanyaan lanjut hubungi Keeran D di talian 012-8870669 atau layari laman web www.hitmanlive.com.