KLANG: Bekalan telur ayam yang tidak stabil di pasaran bukan sahaja menyusahkan pengguna, malah menjejaskan perusahaan kuih bahulu ikan koi terutama menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Ahad ini.
Seorang pengusaha kuih itu, Pujiah Baharan berkata, kekurangan bekalan telur menyebabkannya terpaksa mengehadkan permintaan kuih bahulu kepada 3,000 biji untuk setiap tempahan di kedainya di Jalan Yadi, dekat sini berbanding 5,000 biji pada tahun-tahun sebelum ini.
“Sejak 2015 saya mengusahakan pembuatan kuih bahulu ikan koi. Tempahan setiap tahun lazimnya antara 4,000 hingga 5,000 biji.
“Namun masalah kekurangan bekalan telur di pasaran menyebabkan saya terpaksa menolak banyak pesanan bukan sahaja di Lembah Klang, bahkan dari seluruh negara,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, Pujiah berkata harga bahulu ikan koi juga terpaksa dinaikkan bagi mengimbangi kenaikan harga telur, iaitu RM70 untuk sekotak yang mengandungi enam biji bersaiz besar berbanding RM65 sebelum ini.
Katanya, bahulu ikan koi yang popular dalam kalangan masyarakat Tionghua buatannya menjadi pilihan pelanggan dalam kalangan masyarakat tersebut di luar Selangor pada setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.
“Bahkan orang Melayu juga tidak ketinggalan membuat pesanan untuk dijadikan hadiah kepada rakan-rakan mereka yang meraikan sambutan tersebut.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga kerana mampu menyediakan kuih-muih untuk pelbagai bangsa di negara ini,” katanya. – UTUSAN