BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang percaya bekalan telur ayam di negeri itu masih mencukupi walaupun di sesetengah tempat jumlah bekalan yang diterima antara 50 hingga 60 peratus sahaja buat masa ini.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, isu kekurangan bekalan itu berlaku disebabkan masalah aturan penghantaran bekalan telur ayam yang berbeza di peringkat pemborong.
Beliau berkata, ketika ini juga, masalah bekalan telur ayam hanya dikesan di peringkat peruncit, bukannya pemborong.
“Ada peruncit yang terima aturan (penghantaran bekalan telur ayam) dalam seminggu hanya sekali sahaja. Jadi, kalau pengguna beli sekarang sudah habis, mungkin dua hari berikutnya akan ada bekalan baharu.
“Mungkin jumlah telur yang cukup ini tak sama 100 peratus seperti sebelum ini, tapi ia masih mencukupi di peringkat peruncit.
“Pemborong ada bekalan telur ayam yang cukup, tapi mungkin tak hantar semua buat masa ini, mereka kawal penghantaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Jegan memberitahu, sebanyak 409 premis telah diperiksa pihaknya sepanjang Ops Terjah yang dilaksanakan antara 16 Disember lalu hingga semalam bagi mengenal pasti isu bekalan dan harga barangan asas di negeri itu.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, 337 daripada premis tersebut mempunyai bekalan telur ayam yang mencukupi, 23 premis kurang bekalan manakala selebihnya tidak menerima bekalan buat masa ini.
“Kita yakin bekalan (telur ayam) ketika ini mencukupi dan berharap ia kekal hingga musim perayaan (Tahun Baharu Cina) nanti,” ujar beliau.
Tambahnya, selain telur ayam, pemeriksaan juga dijalankan terhadap bekalan ayam, gula, minyak masak serta tepung gandum yang mana bekalan barangan tersebut mencukupi buat masa ini. – UTUSAN