BUTTERWORTH: Bekalan telur ayam di Pulau Pinang akan pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan lagi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, R. Jegan berkata setakat, ini bekalan bahan mentah tersebut masih mencukupi termasuk untuk menghadapi sambutan Tahun Baharu Cina.
“Bekalan telur ayam di peringkat pemborong di Pulau Pinang masih mencukupi dan berada dalam sekitar 50 ke 60 peratus daripada bekalan sebelum ini.
“Malah, pengusaha ladang tempatan kini sedang berusaha mengadakan rundingan dengan kerajaan mengenai bekalan telur ayam di pasaran. Jadi, dalam tempoh tiga bulan lagi bekalan telur ayam akan pulih sepenuhnya seperti biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas sesi ‘Walkabout’ dan Pemantauan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sebuah pasar raya dekat Bagan Ajam, di sini.
Turut serta dalam sesi pemantauan tersebut ialah Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Pulau Pinang, A. Mogan.
Ditanya mengenai bekalan telur ayam yang didakwa berkurangan di kedai-kedai runcit tempatan sehingga mendapat rungutan dalam kalangan pengguna, Jegan berkata, isu tersebut adalah melibatkan waktu penghantaran yang berbeza.
“Sesetengah kedai runcit bukannya mengalami kekurangan bekalan sebaliknya isu waktu penghantaran yang berbeza iaitu ada yang seminggu sekali, ada yang sekali tiga seminggu.
“Jadi, kalau waktu penghantaran bekalan telur ke kedai runcit itu kerap, maka bekalan telur ayam tidak akan berkurangan, begitulah sebaliknya,” katanya yang menambah, bekalan minyak peket dan bekalan ayam mentah juga mencukupi ketika ini.
Dalam pada itu, kata beliau, sebanyak lapan item bahan terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini antaranya kubis bulat import; ubi kentang import; bawang putih; ikan bawal putih; udang putih; daging babi (perut); daging babi (daging dan lemak) dan babi hidup.
“Tempoh pelaksanaan bagi skim harga maksimum musim perayaan ini berkuat kuasa pada 15 Januari hingga 29 Januari ini,” katanya.
Ujarnya, seramai 122 pegawai penguat kuasa dan 66 pegawai pemantau harga seluruh KPDN Pulau Pinang telah ditugaskan di beberapa lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan sepanjang pelaksanaan skim tersebut. – UTUSAN