JOHOR BAHRU: Bekalan dan harga jualan minyak masak dijangka dapat distabilkan selepas isu kekurangan tenaga kerja asing yang dihadapi pemain industri sektor perladangan dapat diatasi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, isu berkenaan berlaku susulan kekurangan tenaga kerja yang dihadapi sektor perladangan ketika ini.
“Kita sedang dalam peringkat akhir perbincangan dengan pemain industri perladangan, iaitu antara perkara diutarakan mereka adalah isu kemasukan pekerja asing. Mereka berharap perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Setakat ini Kabinet telah buat satu keputusan penting, iaitu kita sasarkan isu pekerja asing dapat diselesaikan dalam masa tiga bulan. Jadi, mungkin pada akhir Mac ini kita akan dapat berikan jumlah pekerja asing mencukupi kepada semua sektor, khususnya pembinaan dan perladangan, itu kita utamakan.
“Hasil pertemuan dengan pihak perladangan, iaitu pemain industri kelapa sawit, mereka bersedia untuk berbincang tentang harga malah harga itu dapat distabilkan sekiranya mereka kembali dapat jumlah pekerja mencukupi,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Kaligrafi Sempena Tahun Baharu Cina anjuran pusat beli-belah Paradigm Mall, di sini hari ini.
Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai turut memberitahu, pihaknya juga menjangka masalah kekurangan bekalan telur tempatan khususnya gred A akan kembali pulih dalam tempoh beberapa bulan lagi.
“Soal bekalan telur, kita juga telah adakan libat urus bersama pembekal dan sekarang kita sedang berusaha untuk memastikan bekalan sedia ada mencukupi.
“Kita juga tiada sebarang keputusan ketetapan untuk menyekat eksport telur ke luar negara kerana pengeluarannya ketika ini adalah pada tahap 112 peratus. Memang ketika ini bekalan tempatan kurang tetapi itu akan selesai dalam beberapa bulan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Salahuddin turut meminta kerjasama masyarakat, khususnya golongan ibu bapa supaya membuat aduan secara terus kepada kementerian agar tindakan segera dapat diambil berkaitan isu pengusaha kantin menaikkan harga jualan secara mendadak.
“Setiap aduan, pengguna boleh buat aduan dengan memaklumkan lokasi dan sekolah mana agar tindakan segera akan diambil secara satu persatu, pihak sekolah juga perlu ambil maklum berhubung perkara ini,” katanya. – UTUSAN