PETALING JAYA : Penemuan sebuah bagasi berkunci yang ditinggalkan di kawasan stesen transit aliran ringan (LRT) SS17, dekat sini disangka berisi bom adalah beg pakaian milik gelandangan.
Penemuan bagasi yang mencurigakan itu dilaporkan sekitar pukul 4.05 petang oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang bertugas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, setelah dimaklumkan penemuan tersebut, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya Meminta bantuan UPB untuk memeriksa beg yang berantai dan berkunci berkenaan.
“Lebih kurang 30 minit kemudian, bantuan dari pihak UPB terpaksa dibatalkan kerana seorang lelaki tempatan berumur lebih kurang 50 tahun datang menuntut dan menyatakan beg berkenaan miliknya.
“Hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit merupakan gelandangan yang sentiasa berpindah-randah dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan beg dengan disaksikan oleh pemilik beg didapati mengandungi pakaian dan barang peribadi miliknya serta tiada barangan menyalahi undang-undang.
“Pihak polis menasihati orang ramai jika menjumpai beg atau bungkusan yang mencurigai supaya terus menghubungi pihak polis bagi tujuan keselamatan,” ujarnya.
Kata beliau, kes diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA). – UTUSAN